RUU 355: Usul penuh Presiden PAS

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan guru Abdul Hadi Awang telah memberitahu meminda usul berkaitan dengan Rang Undang Undang Persendirian Akta 355 Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan usul Rang Undang Undang Persendirian itu bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Walau Bagaimanapun penjelasan lanjut mengenai usul berkenaan akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

Pindaan itu membabitkan seksyen 2 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dipinda dalam proviso kepada seksyen 2 dengan menggantikan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali' dengan perkataan ' penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah'.

Menurut Tuan Guru Abdul Hadi, walaupun RUU ini dikhaskan buat umat Islam namun masih ramai mempertikaikan RUU ini di luar sana.

"Oleh itu saya pohon untuk buat huraian pada sesi parlimen akan datang," katanya ketika membacakan usulnya itu.

RANG UNDANG-UNDANG

Bernama suatu Akta untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965

Diperbuat oleh Parlimen Malaysia seperti berikut:

Tajuk ringkas

1. Akta ini bolehlah dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016

Pindaan Seksyen 2

2. Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 {Akta 355} dipinda dalam proviso kepada seksyen 2 dengan menggantikan perkataan 'imprisonment for a term exceeding three years or with any fine exceeding five thousand ringgit or with whipping exceeding six strokes" dengan perkataan "imprisonment for a term exceeding thirty years or with any fine exceeding one hundred thousand ringgit nor with whipping exceeding one hundred strokes as administered in accordance with the Syariah criminal procedure".

HURAIAN

Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan apa-apa perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimana pun, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri. Undang-undang persekutuan yang memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah ialah Akat Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dengan objektif untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Dengan pindaan ini, Mahkamah Syariah akan diberikan bidang kuasa yang perlu untuk memastikan pematuhan terhadap perintah agama Islam. Peningkatan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah juga selaras dengan langkah untuk menambah baik pentadbiran Mahkamah Syariah.

Rang Undang-Undang ini tidak diniatkan untuk membenarkan pewujudan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan itu oleh Badan Perundangan Negeri berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang persekutuan. Sebagai contoh, Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menjadikan mencuri sebagai suatu kesalahan di bawah Enakmen Negeri. Ini adalah disebabkan hakikat bahawa kesalahan mencuri dan hukumannya telahpun diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan [Akta 574] yang merupakan undang-undang persekutuan. Bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah untuk membicarakan kesalahan jenayah mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

2. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas Akta yang dicadangkan.

3. Fasal 2 bertujuan untuk meminda proviso  kepada seksyen 2 Akta 355 untuk meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah untuk membicarakan kesalahan terhadap perintah agama Islam yang dilakukan oleh orang yang menganut agama itu. Dengan pindaan ini, Mahkamah Syariah akan mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan semua kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi tiga puluh tahun atau dengan apa-apa denda yang tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dengan sebat yang tidak melebihi satu ratus sebatan sebagaimana yang dilaksanakan mengikut tatacara jenayah Syariah atau dengan apa-apa gabungan hukuman-hukuman itu.

Berkenaan dengan tempoh pemenjaraan dan denda, pada masa ini Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk membicarakan semua kesalahan yang dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau dengan denda yang tidak melebihi lima ribu ringgit. Pindaan ini akan membolehkan Badan Perundangan Negeri menetapkan tempoh pemenjaraan dan denda yang lebih tinggi bagi kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Negeri masing-masing bergantung kepada keseriusan kesalahan-kesalahan itu dan akan memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa dan kekompetenan untuk membicarakan kesalahan-kesalahan itu.

Berkenaan dengan sebat, pada masa ini Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk membicarakan semua kesalahan yang boleh dihukum dengan sebat yang tidak melebihi enam sebatan. Peningkatan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah kepada satu ratus sebatan adalah untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri menetapkan bilangan sebatan yang lebih tinggi bagi kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen Negeri masing-masing bergantung kepada keseriusan kesalahan-kesalahan itu. Sewajarnya ditekankan bahawa sebat hendaklah dilaksanakan mengikut tatacara jenayah syariah yang diperuntukan du bawah Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 {Akta 560} dan Enakmen Negeri yang lain. Di bawah tatacara jenayah Syariah yang berkenaan, sebatan adalah lebih ringan dan tidak sekeras yang diperuntukan di bawah undang-undang sivil. Contohnya seksyen 125 Akta 560 menghendaki orang yang melaksanakan hukuman sebat untuk menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangan melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah. Pesalah juga dikehendaki memakai pakaian mengikut Hukum Syarak.

Sewajarnya ditekankan juga bahawa walaupun bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah ditingkatkan kuasa perundangan untuk mewujudkan kesalahan terhadap perintah agama Islam dan hukuman bagi kesalahan itu di bawah Enakmen-Enakmen Negeri yang berkenaan masih kekal dengan Badan Perundangan Negeri.

Implikasi Kewangan

Rang Undang-undang ini tidak akan melibatkan kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan. – HARAKAHDAILY 24/11/2016

Berita penuh dalam Harakah cetak edisi Isnin ini.

Share on Myspace