Persidangan Persatuan Ulamak rasmi tubuh PAS

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PERSIDANGAN PERSATUAN ULAMAK SE-MALAYA RASMIKAN PENUBUHAN PAS (24 NOVEMBER 1951)

PADA hari ini dalam tahun 1951, para ulamak dan persatuan-persatuan umat Islam telah bersidang dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Perai untuk menubuhkan persatuan ini secara rasmi. Dua agenda utama persidangan ini adalah untuk meluluskan Undang-undang Tubuh Persatuan Ulamak Se-Malaya dan melantik ahli jawatankuasa kerja persatuan tersebut. Persidangan ini pada asalnya dijadualkan akan dibuka oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Putra tetapi telah dibuka oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Haji Abdullah Fahim.

Persatuan Ulamak Se-Malaya telah ditubuhkan sebelumnya dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya Kedua di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Mereka telah membentuk sebuah Jawatankuasa Kecil Lima Anggota yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan untuk menggubal undang-undang tubuh dan menaja penubuhan persatuan ini. Sebuah lagi Jawatankuasa Kecil Sambutan yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah ditubuhkan kemudiannya untuk melaksanakan persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Pada 23 November 1951, Mudir Madrasah ad-Daeratul Mastiff al-Wathaniyyah, Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah telah melancarkan 'Manifesto al-Badawi' untuk menyambut persidangan ini.

Para ulamak di Malaya selepas zaman Jepun pernah beberapa kali bersidang di Gunung Semanggol antara 1947-1948 sehingga berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin pada 14 Mac 1948. Ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat 1948, kegiatan politik para ulamak telah terhalang, yang menyebabkan mereka mulai aktif dalam Bahagian Agama dan Pelajaran Umno sejak 1949. Atas desakan para ulamak, Umno menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Malaya Pertama di Muar pada 20-21 Februari 1950. Kerana banyaknya isu umat Islam yang timbul, pada 23 Ogos 1951 persidangan ini diadakan kali yang kedua. Dalam persidangan kali kedua ini, ulamak telah mengambil tindakan untuk menubuhkan Persatuan Ulamak Se-Malaya bagi menyelesaikan isu-isu umat Islam.

Dalam persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya pada 24 November 1951, mereka telah membahaskan Rang Undang-undang Tubuh PAS 1951 di mana tiga perkara utama telah berbangkit. Pertama tentang nama persatuan, di mana terdapat tujuh nama yang dicadangkan, tetapi akhirnya nama "Persatuan Islam Se-Malaya" atau PAS telah terpilih. Kedua, tentang tujuan penubuhan persatuan yang ditelah diubah daripada sebuah persatuan yang bersifat kebajikan kepada sebuah pertubuhan politik Islam. Ketiga, perkara baru yang ditimbulkan iaitu tentang disiplin parti yang melarang pimpinan PAS menjadi anggota parti lain. Setelah Undang-undang Tubuh PAS 1951 diluluskan, agenda pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS telah dilaksanakan tetapi menghadapi masalah kerana kebanyakkan nama yang dicalonkan adalah ahli parti lain dan mereka tidak mahu berundur daripada parti masing-masing, sehingga keadaan menjadi buntu.

Untuk merungkai masalah ini, Pengerusi Persidangan, Ustaz Haji Mohd Ghazali Abdullah telah menangguhkan persidangan dan mengisytiharkan 'mesyuarat agung khas' untuk meminda Undang-undang Tubuh PAS 1951 berkait disiplin parti untuk membuatkan pimpinan PAS yang dipilih kekal menganggotai parti asal mereka. Hasil dari itu, pemilihan parti telah berjalan lancar di mana Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dipilih sebagai Yang Dipertua PAS, Ustaz Haji Mohd Ghazali Abdullah (Timbalan Yang Dipertua PAS), Tuan Guru Haji Hussein Che Dol, Ustaz Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli dan Fakeh Mohd Nor Mohd Zain (Naib-naib Yang Dipertua PAS), Ustaz Haji Ahmad Maliki (Setiausaha Agung PASPAS) dan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (Bendahari Agung PAS). Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang terpilih pula ialah Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Othman Talib, Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin Segambut, Ustaz Haji Zabidi Ali, Ustaz Haji Abdul Wahab Noor, Qadhi Haji Asy'ia Abdul Majid, Haji Majzub Yunus dan Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
24 November 2016 - HARAKAHDAILY 24/11/2016

Share on Myspace