Pemuda PAS lapor polis terhadap Guan Eng

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Kelantan membuat laporan polis berhubung artikel didakwa berbaur hasutan ditulis Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan pindaan Akta 355.

Kenyataan disiarkan semalam dalam laman blog, limguaneng.com  yang menyarankan empat parti kompenan Barisan Nasional (BN) bukan Islam agar keluar bagi menyatakan bantahan terhadap rang undang-undang berkenaan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi berkata, rencana itu dianggap bercanggah dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong yang meminta Mahkamah Syariah diperkasakan.

"Apabila beliau (Lim Guan Eng) menulis demikian seperti menentang pemerkasaan Mahkamah Syariah

“Ini seolah-olah memberi satu gambaran penentangan terhadap hasrat baginda," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kota Bharu turut mengingatkan Lim Guan Eng, apa yang dilakukan ahli Parlimen Marang tidak bercanggah dengan prosedur Dewan Rakyat.

Beliau juga memberi peringatan kepada Setiausaha DAP supaya tidak bertindak seperti individu yang tidak mendapat pendidikan sempurna, bahkan orang kampung lebih memahami situasi sebenar.

"Orang kampung pun tahu ia adalah undang-undang yang tidak melibatkan orang bukan Islam dan tidak perlu mendapat persetujuan mereka untuk memperkasakan institusi itu.

"Jangan sampai kebencian dia kepada PAS, seolah-olah menampakkan belang sebenar, dia benci kepada Islam, ini lebih teruk," kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/11/2016

Share on Myspace