Kaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

KERAJAAN PERLU KAJI SEMULA HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN MYANMAR

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk sekeras-kerasnya apa yang berlaku di Myanmar sekarang dan menggesa kerajaan mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Myanmar. Bumi Arakan sedang bermandi darah akibat pembersihan etnik yang dilakukan ke atas etnik Rohingya. Mereka dizalimi, dibunuh, dirogol serta dihalau dari kediaman mereka setiap hari.

Kerajaan perlu memainkan peranan yang proaktif  sebagai anggota aktif dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Asean dan sebagai anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak campur tangan bagi menghentikan keganasan dan kezaliman yang berlaku di Arakan sekarang. Tanpa campur tangan badan-badan tersebut, sebarang usaha untuk menangani konflik tersebut mungkin akan lesu dan tidak menjadi berkesan.

Tanpa desakan dan campur tangan, tidak mustahil orang-orang Rohingya akan menerima nasib yang sama seperti apa yang berlaku di Bosnia-Herzegovina dahulu.

Walaupun Bosnia-Herzegovina sudah kembali seperti sedia kala, kesannya masih dirasai dan diingati oleh umat Islam seluruh dunia akibat; sikap berpeluk tubuh dan sambil lewa OIC dan PBB.

Kerajaan perlu menghantar mesej yang tegas kepada Myanmar bahawa Malaysia tidak bersetuju dengan cara Myanmar menangani konflik berdarah tersebut. Junta Myanmar seolah-olah melindungi jenayah yang sedang berlaku dan membiarkan ia bermaharaja lela.

Junta  Myanmar juga seolah-olah tidak memperdulikan kecaman dunia terhadap apa yang berlaku, malah cuba menutup jenayah terbabit dengan menyalahkan etnik Rohingya di atas apa yang berlaku.

DPPM mendesak Kerajaan membekukan pengambilan warga kerja dari Myanmar sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku terutamanya sikap berdiam diri Myanmar ke atas jenayah tersebut.

DPPM juga menyokong desakan pelbagai pihak agar Kerajaan terutamanya FAM menarik diri daripada pertandingan Piala AFF yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar sebagai tanda serta signal yang jelas bahawa Malaysia benar-benar serius mahu menangani isu ini.

“Bertekad Melebar Muafakat"
“Inilah Penyelesaian Kita”

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
24 November 2016 | 24 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 24/11/2016

Share on Myspace