PAS sedia kerjasama selamatkan Felda

NARAZA MUDA | .

ISU MELANDA FELDA, PAS BERSEDIA BERKERJASAMA DENGAN MANA-MANA PIHAK DAN NGO UNTUK SELAMATKAN FELDA

PAS tidak keseorangan untuk meneruskan usaha membela warga peneroka Felda, selepas transformasi Felda yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada tahun 2012, kami tidak pernah mengalah atau berhenti untuk menyedarkan warga peneroka Felda terutama pelantikan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad. PAS terus mengambil pendekatan tradisi seperti ceramah dan penggunaan media sosial untuk menyampaikan maklumat serta berunding terus dengan pihak kerajaan.

Kami dihalang masuk ke tanah rancangan adalah perkara biasa, peneroka dihalang hadir program juga cerita lama. Kini sebaliknya. Kesedaran semakin tinggi, bahkan sudah ada JKKR sendiri menjemput kami untuk berbincang bertukar pendapat dan meminta perkara-perkara tertentu untuk terus diperjuangkan. Kami boleh mengetepikan perbezaan politik untuk isu-isu yang ada kebersamaan.

Penyenaraian FGV di BSKL antara bahana yang sangat besar yang telah mengubah hampir keseluruhan stuktur Felda terutama menyingkirkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dari menguasai 51 peratus kepentingan dalam Felda Holdings.

KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam Felda Holdings Berhad (FHB) telah ditendang keluar dari Felda  apabila perwakilan bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui penerangan dan taklimat khas berkaitan. Sejarah hitam ini berlaku pada 27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.

Penyingkiran KPF dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka Felda telah membuka mata peneroka Felda seluruh negara. FGV telah mengambil alih semua kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2 bilion ataupun RM19.61 sesaham.

Berdasarkan beberapa maklumat yang kami perolehi, kami menyatakan kebimbangan KPF akan disingkirkan dari Felda ternyata benar. Kini KPF terpaksa mencari sumber lain untuk terus membayar dividen kepada pencarum yang terdiri daripada peneroka Felda seluruh negara. Pada tahun 2015, KPF hanya mampu membayar dividen dan bonus kepada 207,913 ahli dengan nilai 10 peratus sahaja, berbanding 17 peratus tahun-tahun sebelumnya.

Setelah disingkirkan, KPF telah membeli 48,839 ekar ladang sawit di Samarahan, Sarawak dan Gua Musang, Kelantan. Apa yang menyedihkan 37,972 ekar ladang di Samarahan, 80 peratus tanahnya dari jenis gambut dan nilai belian yang mencecah RM1.2 bilion dianggap terlalu mahal oleh penganalisis perladangan.

KPF beberapa tahun menduduki carta Koperasi terbaik di Malaysia dan tangga ke-20 di peringkat antarabangsa. Koperasi yang besar maknanya kepada peneroka Felda dan orang Melayu secara halusnya dimusnahkan sendiri oleh Perdana Menteri dan Pengerusi Felda. Sebelum ini siapa yang nak percaya? Sekarang, lihatlah apa yang berlaku.

Terlalu banyak kerosakan dan perkara yang menjurus kepada melenyapkan Felda dari kegemilangan sebelum ini. Pemimpin terdahulu membina Felda, 112,635 peneroka seluruh negara melalui sejarah kepayahan, keikhlasan yang tiada nilai untuk membalas usaha mereka bergandingan dengan pihak pengurusan hampir 60 tahun untuk tatapan generasi sekarang, akhirnya Felda sedang mengucup dari kegemilangan di era Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Berpuluh isu teras yang mencengkam Felda hari ini, saya sudah banyak menulis isu berkaitan, kami telah berusaha menyedarkan peneroka dan rakyat Malaysia serta berkongsi kebimbangan kami sebelum ini. Setelah Laporan Ketua Audit Negara 2015 mengesahkan kebimbangan kami sebelum ini benar, bahkan banyak lagi isu teras dan besar belum berjaya didedahkan dengan cara meyakinkan peneroka dan bukan persepsi semata-mata.

Melihat sejak akhir-akhir ini banyak pihak sudah berani mempersoalkan kedudukan permasalahan Felda, pendedahan kelemahan pengurusan, penyelewengan dana ratusan jutaan ringgit, cengkaman hutang yang tidak munasabah direkodkan ke dalam peneroka, pembelian hartanah di dalam dan luar negara, kegagalan projek perumahan generasi kedua dan pelbagai masalah lain, kami PAS bersedia untuk duduk bersama dengan mana-mana pihak terutama Majlis Belia Felda serta gabunganya untuk sama-sama mencari jalan, agar Felda dapat diselamatkan dari kerosakan yang lebih teruk jika dibiarkan kerakusan ini bermaharajalela.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
25 November 2016 / 25 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 25/11/2016

Share on Myspace