Rejim zionis ‘nyala api permusuhan’ dengan NGO

Aisyah Yamin | .

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), aduan melibatkan kes rampasan permit dan soal siasat yang memakan masa yang lama oleh pihak keselamatan rejim Zionis semakin meningkat.

Demikian dipetik dari sumber Al-Jazeera bertarikh 22 November lalu.

September lalu, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) menggesa dunia bertindak menghentikan usaha rejim Zionis ‘mengusir pekerja dan sukarelawan antarabangsa’.

Sebelum itu, seorang warganegara Amerika Syarikat, Pam Bailey, telah dihalang daripada memasuki Israel sejurus tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv.

Setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) ‘Euro-Mediterranean Human Rights Monitor’ itu telah ditahan selama 11 jam manakala pasportnya hanya dikembalikan selepas dia sampai di AS.

Selain itu, Bailey juga telah diberi larangan memasuki Israel selama 10 tahun.

“Saya ada permit untuk memasuki Gaza,” ujar Bailey kepada Al-Jazeera.

“Israel kata mereka tidak menjajah Gaza; tetapi mereka menghalang pelawat masuk (ke situ). Bukankah itu satu definisi kepada sebuah penjara? Kami tidak mahu pergi ke Israel, kami mahu ke Palestin.”

Wanita itu adalah antara sejumlah aktivis, pengkaji dan wartawan yang baru-baru ini dinafikan akses oleh pihak berkuasa Israel. Rejim itu dilihat cuba menambah kawalan ketat ke atas rakyat Palestin dan sokongan antarabangsa yang diterima.

Laman web Unit Penyelarasan Akses di bawah PBB; ‘Access Coordination Unit’, berperanan menerima maklumat kes-kes berkaitan. Menurut dapatan Euro-Med, terdapat peningkatan kes pembatalan lawatan secara paksa, penghantaran pulang ke negara asal dan larangan masuk sama ada ke Gaza mahupun Tebing Barat.

Menurut laporan PBB dan data dari Euro-Med, kes pengusiran dan larangan akses meningkat sekitar 10% dalam tahun 2016; berbanding sekitar 1-2% sepanjang tempoh tiga tahun sebelumnya.

Badan-badan antarabangsa turut melaporkan bahawa kebebasan petugas yang berpangkalan di Gaza semakin disekat sejak awal tahun ini.

Hal ini dapat dilihat apabila jumlah permit para petugas agensi-agensi PBB yang telah ditolak meningkat dari 3% pada awal Januari lalu kepada 65% pada Ogos dan 45% pada bulan September lepas.

“Dalam jumlah tepat, sekurang-kurangnya 280 permohonan permit keluar dari Gaza telah ditolak; sama ada (permohonan dari) PBB mahupun NGO antarabangsa tahun ini setakat sekarang,” ujar penyelaras kemanusiaan PBB di wilayah Palestin yang diduduki, Robert Piper.

“Di kebanyakan kes, kami tidak diberikan sebarang maklumat tentang alasan penolakan terhadap (permohonan permit) kumpulan kami,” kata Piper lagi kepada Al-Jazeera.

“Kes-kes rampasan permit dan soal siasat yang panjang oleh pihak berkuasa Israel di Sempadan Erez juga turut meningkat.”

“Tambahan pula, sebahagian staf PBB kami baru-baru ini telah dilarang dari memohon permit selama satu tahun dengan hanya memberi sedikit alasan.”

Dalam perkembangan lain, Israel menuduh sebuah pertubuhan bantuan, World Vision, mengalihkan bantuan berjumlah jutaan dolar untuk Gaza kepada sebuah gerakan Islam Palestin, Hamas.

Selain itu, rejim turut menuduh seorang jurutera yang bertugas di bawah Program Pembangunan PBB (UNDP) ‘mengalihkan runtuhan untuk tujuan ketenteraan’. Walau bagaimanapun, UNDP berkata runtuhan tersebut telah dipindahkan ke kawasan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Palestin.

Tertuduh, Waheed Borsh, juga telah dikatakan ‘memberi keutamaan pembinaan semula di kawasan anggota Hamas’ serta sedang dibicarakan setelah didakwa September lalu.

Menurut NGO Bantuan Perubatan untuk Rakyat Palestin, bulan Ogos merupakan bulan yang mencatatkan kelulusan permit paling rendah bagi pesakit yang mahu meninggalkan Gaza melalui Erez; manakala 186 permohonan permit lain ditolak serta 700 lagi tiada maklum balas.

Julai lalu, Israel telah meluluskan satu undang-undang yang mewajibkan NGO negara itu mendedahkan dana asing yang diterima. Undang-undang tersebut telah menerima kritikan serta dilihat cuba mensasarkan pertubuhan hak asasi yang mempertahankan rakyat Palestin di wilayah diduduki.

Pertubuhan-pertubuhan di bawah seliaan warga Palestin pula telah lama dikawalketat pihak rejim; namun, tekanan hasil langkah diambil Israel itu kini semakin dirasai susulan kempen cuba memberi imej negatif kepada ‘organisasi pro-Palestin’.

Menurut laporan Al-Jazeera, sebahagian petugas NGO menghadapi kesukaran memperbaharui visa kerja mereka sejak dua bulan lalu.

“Kami bimbang sebarang situasi politik dan keselamatan yang bakal memburukkan lagi keadaan akan menyebabkan kawalan lebih ketat terhadap akses; sebagaimana yang berlaku sebelum ini,” ujar Piper kepada Al-Jazeera. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace