Ikatan syor utamakan tenaga kerja tempatan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor berpendapat bahawa pengurangan jumlah tenaga kerja asing di dalam negara dapat mengawal pengaliran keluar mata wang negara.

Dalam menangani isu tenaga kerja asing Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman, berkata kerajaan harus berani mengambil cabaran untuk merebut peluang pekerjaan yang dikuasai mereka dengan menawarkan kepada rakyat tempatan.

"Kebanjiran pekerja asing yang terlalu ramai di dalam negara semakin membimbangkan sehingga mencantas peluang perniagaan dan pekerjaan rakyat tempatan. Banyak dimonopoli oleh pekerja asing.

"Contoh di Indonesia, Bangladesh, India, Nepal dan sebagainya mereka tidak pernah mengambil tenaga kerja asing untuk kerja pembangunan negara mereka," katanya ketika ditemui Harakahdaily baru-baru ini.

Sebaliknya kata beliau, negara kita terlalu bergantung kepada pekerja asing dari negara berkenaan seolah-olah menafikan kepakaran yang dimiliki oleh rakyat tempatan.

Malah katanya, dengan mengurangkan jumlah tenaga kerja asing ini dapat mengurangkan jumlah rasuah yang semakin berleluasa di tambah pula iklim ekonomi negara yang tidak menentu.

"Kita ambil contoh negara Amerika, England, China, Thailand di mana jumlah tenaga kerja asing dapat di kawal. Kenapa kita atau rakyat tidak berani mengambil peluang untuk membuat kerja tersebut," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri David Seow turut melahirkan kebimbangan dengan kebanjiran pekerja asing yang terlalu ramai di dalam negara menyebabkan ramai rakyat tempatan hilang pekerjaan.

Beliau turut menyarankan kerajaan agar melatih tenaga kerja tempatan agar dapat dimanfaatkan untuk projek-projek di masa hadapan tanpa lagi bergantung kepada pekerja asing.

"Misalnya latih anak-anak Felda untuk projek masa hadapan, bagilah peluang kepada mereka. Kenapa kita perlu bergantung kepada kepakaran luar negara. Inilah masa yang sesuai di saat ekonomi kita semakin merosot.

"Kita ambil kepakaran rakyat kita yang daripada pelbagai bangsa kita ada Melayu, kita ada India dan kita ada China, mereka ada kepakaran masing-masing. Manfaatkan mereka," ujarnya.

Terdahulu, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz tidak menolak orang Bangladesh yang berkerja di dalam negara ini mungkin boleh menjadi rakyat Malaysia kerana persamaan budaya antara penganut Islam di negara ini dan Bangladesh. – HARAKAHDAILY 25/11/2016

Share on Myspace