Rohingya: PAS bimbang jika antarabangsa bisu, pekak

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

MARANG: PAS memberi peringatan kepada junta tentera Myanmar dan masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) agar menghentikan pembunuhan terhadap umat Islam Rohingya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Rohingya terletak di sekeliling negara yang mempunyai umat Islam ramai.

Justeru, katanya masyarakat antarabangsa seperti PBB dan OIC yang mewakili umat Islam perlu bertindak segera dan usah membiarkan Rohingya terbakar seperti Bosnia.

“Saya hendak beri peringatan kepada junta tentera di Rohingya dan dalam masa yang sama masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya OIC supaya jangan biarkan rakyatnya (Rohingya) terbakar macam Bosnia.

“Mereka kena sedar kerana Rohingya itu berada hampir dengan 400 hingga 500 juta umat Islam. Di rantau Asia Tenggara sahaja ada 300 juta orang di Indonesia, Malaysia, di selatan Thailand, selatan Filipina dan termasuk di Kemboja.

“Juga termasuk di benua India dan di India sahaja hampir 200 juta, Pakistan hampir 100 juta orang Islam. Di China pun hampir 40 juta orang Islam. Di kelilingi orang Islam dan jika berlaku ‘apa-apa’, orang Islam sabar dia ada batas,” tegasnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia berkata demikian kepada media selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Menurutnya, sifat perikemanusiaan sudah tidak ada lagi apabila berlaku pembunuhan ke atas etnik minoriti Muslim Rohingya di Arakan serta wilayah diduduki umat Islam di Myanmar.

Beliau turut mendesak campur tangan melalui tentera pengaman PBB dan OIC bagi menyelamatkan umat Islam Rohingya.

Tuan Guru melahirkan kebimbangan jika masyarakat antarabangsa mengambil sikap membisu dan ‘pekak’ akan ada umat Islam bertindak sendirian.

“Mula-mula mereka desak kerajaan-kerajaan. Kalau kerajaan lambat, mereka bertindak sendiri. Kalau bertindak sendiri, itu kita tak tahu apa jadi…itu kena ingat. Ini kerana laut tidak ada sempadan dan darat pun begitu juga, jangan dia (junta tentera) ‘menggila’.

“Sebab itu, kena campur tangan melalui tentera pengaman (PBB) dan OIC kena campur tangan, jangan jadi bisu, pekak dengan OIC ini mewakili umat Islam tetapi bercakap dengan kenyataan sahaja tanpa ada apa-apa tindakan.

“Suku Rohingya merupakan penduduk asal yang lahir di situ. Bukan sahaja suku Karen, suku-suku lain yang ada di Burma tak iktiraf masyarakat majmuk atas semangat fanatik kaum, fanatik agama Buddha.

“Itu bukan dari ajaran agama Buddha saya rasa. Sudah jadi fanatik dan mereka bertindak dengan begitu ganas tanpa perikemanusiaan,” ujarnya.

Menurutnya, campur tangan badan dunia tersebut amat perlu kerana tragedi berdarah seumpama itu pernah berlaku di Bosnia-Herzegovina. - HARAKAHDAILY 25/11/2016

Share on Myspace