Ayub bersolidariti bersama Rohingya

HARAKAHDAILY | .

Masyarakat Rohingya telah menduduki wilayah Arakan atau lebih dikenali sebagai Rakhine sejak sekian lama berdasarkan pelbagai tulisan akademik. Malangnya, sehingga kini kerakyatan mereka dinafikan pihak berkuasa.

Sejak pemerintahan British pada 1826 selepas Perang Anglo-Burma Pertama (1824-1826) sehinggalah Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan juga rampasan kuasa oleh Jeneral Ne Win pada 1962, nasib tidak pernah menyebelahi masyarakat Rohingya.

Pada 1982, Jeneral Ne Win meluluskan Undang-Undang Kewarganegaraan Burma (Burma Citizenship of Law) dengan tujuan memastikan peluang menghapuskan masyarakat Rohingya menjadi lebih mudah.

Selepas dua dekad di bawah pemerintahan junta, akhirnya parti 'National League for Democracy' (NLD), pimpinan seorang wanita pemenang anugerah Nobel Keamanan pada 1991, Aung San Suu Kyi, memenangi pilihanraya demokrasi tahun lalu.

Namun, pengaruh junta dalam pentadbiran beliau masih tegar. Perlembagaan yang diluluskan menyaksikan 25 peratus daripada kerusi Parlimen mesti diserahkan kepada tentera disamping masih berkuasa dalam isu keselamatan.

Meskipun dari satu sudut pengambilalihan pentadbiran Suu Kyi dilihat positif, tetapi kerajaan Myanmar masih gagal menangani krisis kemanusiaan yang kian memuncak. Pendirian rasmi kerajaan masih tidak mengiktiraf kerakyatan Rohingya, sebaliknya mereka digelar pendatang asing Benggali.

Mereka adalah mangsa kezaliman yang panjang, tinggal dalam keadaan yang begitu dhaif, dengan situasi kemiskinan dalam pelbagai dimensi (multi-dimesional poverty). Kezaliman berterusan yang dilakukan tentera Myanmar ketika ini dengan sokongan padu dari golongan ultra nasionalis Buddha di sana adalah faktor yang tidak pernah dipertikai.

Terkini, serangan tidak berperikemanusian yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya disana melibatkan tentera Myanmar. Jumlah kematian mencecah 400 orang dan dipercayai jumlah tersebut lebih tinggi dari yang dilaporkan. 430 buah kediaman dimusnahkan manakala ribuan yang lain menjadi pelarian. Apa salah mereka sehingga memaksa pihak tentera dan golongan "ekstrimis" Buddha mengambil tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini? Jelas sekali krisis kemanusiaan dan penghapusan etnik Rohingya sudah sampai dikemuncaknya.

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru dengan sepenuh hati kepada seluruh umat Islam supaya turun berhimpun petang ini di Masjid Negara bagi menyatakan solidariti bersama masyarakat Rohingya.

Sudah sampai masanya tekanan diplomatik dihalakan sepenuhnya terhadap kerajaan Myanmar supaya bertindak dengan adil terhadap kezaliman yang berlaku. Ayuh berikan signal Islam menolak keganasan dan kezaliman yang ditimpakan kepada masyarakat Rohingya.

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
26 November 2016 | 26 Safar 1438 - HARAKAHDAILY 26/11/2016

Share on Myspace