Arakan yang berdarah

DR AZIMAH IBRAHIM | .

Berpuluh-puluh tahun telah berlalu, namun dunia masih membutakan matanya terhadap kesengsaraan bangsa Rohingya. Terciptanya Israel secara haram angkara British pada Mei 1948 yang membawa kepada penganiayaan bangsa Palestin hingga hari ini, begitulah juga kisahnya Arakan, negara asal bangsa Rohingya yang diserahkan secara haram kepada Myanmar setelah berakhirnya jajahan British pada Januari 1948.

Kisah mereka serupa Palestin dibedil, ditarah dan dimusnah oleh Israel, sementara Arakan pula dipulau, diperkosa dan disisih oleh junta Myanmar.

Kini, Rohingya ialah bangsa tanpa negara. Mereka dianggap bangsa pariah, kewujudan mereka dicap tidak sah. Junta Myanmar tidak segan silu, malah begitu angkuh menghamburkan bencinya terhadap Rohingya di pentas dunia. Anehnya, dunia tunduk memekakkan telinga.

Ketika sidang kemuncak Asean pada tahun 2015, rakyat Malaysia yang prihatin begitu teruja menanti kata sepakat yang bakal dimeterai oleh menteri kanan negara tatkala bertemu dengan wakil junta Myanmar yang datang ke Malaysia, moga-moga penindasan ke atas Rohingya akan berakhir jua. Tetapi tidak, menteri kanan Malaysia juga akur akan junta Myanmar, begitu takut hingga langsung tidak bersuara.

Sehinggalah tamat persidangan Asean, beratus-ratus wakil yang datang berbincang, pentas diplomatik yang dianjurkan menelan berjuta-juta ringgit, peluang luas terbuka, akan tetapi, nama Rohingya terlalu jijik, tidak dikira layak oleh mereka untuk dibawa ke meja perbincangan.

Aung San Suu Kyi, srikandi rakyat Myanmar yang tertindas, pejuang hak asasi, beliau pernah berjanji akan menegakkan kebenaran dan memperjuangkan keadilan tanpa mengenal bangsa dan agama. Kini, telah 6 tahun Suu Kyi dibebaskan dari penjara, sudah merata-rata pelosok dunia Suu Kyi pergi, bertemu pemerintah negara dunia pertama, mengikat jalinan hubungan negara.

Sedih pilunya rakyat Rohingya, serikandi pujaan langsung tidak peduli, sekali pun belum pernah terlantun dari mulutnya rasa belas simpati. Penderitaan bangsa Rohingya semakin jauh terketepi. Bakal luputlah sejarah bangsa Rohingya dari muka bumi.

Ayuhlah umat Islam!
Laungkanlah belas ihsanmu!
Jangan kita dayus, bacul membiarkan saudara seagama dipijak, dicabul tanpa pembela,
Bangsa Rohingya ialah saudara seagama, walau berbeza nama dan rupa.
Jangan kita biarkan saudara seagama kita dipijak, dibunuh oleh kafir yang membenci.
Ayuh! Bangkit!

Kita berkumpul bermunajat di HIMPUNAN SOLIDARITI UMMAH!

Dr Azimah Ibrahim
Pengerusi Lajnah Antarabangsa DMPM

Share on Myspace