Krisis air: Pemuda PAS Kedah sedia berwacana dengan BN

NURUL AMIN HAMID | .

Isu krisis air di Negeri Kedah menjadi panas diperbahaskan didalam sidang Dun Kedah baru-baru ini apabila pihak pembangkang Kedah membangkitkan pelbagai masalah yang berlarutan berkaitan krisis air yang menghantui rakyat Kedah.

Dewan Pemuda PAS Kedah melihat bahawa banyak masalah dan isu yang berkaitan air ini perlu dirungkaikan kerana masa yang ada semasa perbahasan sidang Dun tidak mencukupi untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

Justeru itu, pihak kami berpandangan bahawa isu berpanjangan ini perlu dirungkai oleh pihak kerajaan dan juga pihak pembangkang yang pernah menjadi kerajaan di Kedah supaya rakyat faham kedudukan sebenar isu air ini.

YB Ustaz Mohd Azam, Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah telah menyahut cabaran debat oleh Adun BN Pantai Merdeka, Haji Ali Yahya berkaitan isu air ini seperti yang disebut di dalam sidang Dun dan mencadangkan debat ditukar ke dalam bentuk wacana sesuai dengan Budaya Politik Matang Dan Sejahtera PAS di samping menghormati Adun Pantai Merdeka lebih berusia daripada YB Ustaz Mohd Azam.

Pihak kami bersedia menjadi penganjur bagi wacana tersebut dan sedang menunggu persetujuan dari pihak Adun Pantai Merdeka untuk bersama-sama tampil ke hadapan dengan kebenaran agar rakyat memiliki persepsi yang jelas terhadap isu krisis air ini.

NURUL AMIN HAMID
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Share on Myspace