Sejarah: Peraturan pilih calon cetus krisis terbuka

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PERATURAN PEMILIHAN CALON MENCETUSKAN KRISIS TERBUKA MOHD ASRI DENGAN ULAMAK (26 NOVEMBER 1981)

PADA hari ini dalam tahun 1981, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan dua isu yang kemudiannya kedua-dua isu ini menjadi punca pergolakan antara Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dengan golongan ulamak dalam PAS, termasuk Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dua isu tersebut ialah cadangan yang diangkat oleh Dewan Ulamak PAS Pusat untuk menggubal Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1981 dan cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan muktamar tahunannya bagi tahun 1982 berasingan daripada Muktamar Tahunan PAS. Kedua-dua isu ini dikatakan telah menyebabkan Dato' Mohd Asri Haji Muda merajuk dan mula berkrisis secara terbuka dengan golongan ulamak sehingga akhirnya beliau berundur dari kepemimpinan PAS setahun kemudian.

Krisis awal antara Dato' Mohd Asri Haji Muda dengan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah tercetus pada awal 1981 apabila Yang Dipertua Agung PAS itu pada 29 Januari 1981 telah mencadangkan supaya PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Umum Keenam yang dijangka pada 1982. Cadangan ini telah menimbulkan kemarahan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sehingga beliau pada 14 Februari 1981 mengancam untuk meletakkan jawatan, selain turut menerima bantahan daripada ahli-ahli PAS di Kelantan dan Terengganu.

Ekoran itu, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah mengubah rentaknya dengan turut menolak kerjasama dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-27 pada 17-19 April 1981. Walau bagaimanapun, isu tersebut telah menyebabkan wujudnya penolakkan terhadap kepemimpinan Dato' Mohd Asri Haji Muda sehingga ada pihak yang mencalonkan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa untuk menandingi jawatan Yang Dipertua Agung PAS. Pak Yusof Rawa yang pada saat akhir memilih untuk menarik diri dari bertanding jawatan Yang Dipertua Agung PAS, kemudiannya berjaya mengalahkan proksi Dato' Mohd Asri Haji Muda, Dato' Abu Bakar Umar bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 19 April 1981.

Setelah pemilihan parti berakhir dengan kekalahan beberapa tokoh yang dikatakan 'orang kuat Asri,' telah timbul konflik baru antara Yang Dipertua Agung PAS dengan golongan ulamak apabila mereka menolak cadangan Dato' Mohd Asri Haji Muda bagi melantik Dato' Abu Bakar Umar sebagai Setiausaha Agung PAS dan Haji Hassan Muhammad sebagai Bendahari Agung PAS pada 13 Mei 1981. Ustaz Fadzil Mohd Noor, Naib Yang Dipertua Agung PAS dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS bertegas bahawa Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad patut dikekalkan sebagai Setiausaha Agung PAS, sedangkan Cikgu Mustafa Ali (Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Haji Wan Muttalib Embong dan Ustaz Nakhaie Ahmad (Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) menolak cara perlantikan yang dibuat tanpa melalui proses syura, sebalik dengan kuasa prerogatif Yang Dipertua Agung PAS.

Keadaan dalaman PAS yang tegang sejak awal 1981 kerana ketidakpuasan hati sebahagian pimpinan PAS terhadap Dato' Mohd Asri Haji Muda mula menjadi pertembungan apabila Dewan Ulamak PAS Pusat mencadangkan peraturan dalam pemilihan calon-calon PAS untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Keenam, yang sebenarnya didorong oleh krisis politik 1978.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang dipengerusikan oleh Pak Haji Yusof Rawa, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS pada 26 November 1981 ini telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil untuk mengkaji cadangan Dewan Ulamak PAS Pusat ini yang dilihat akan membendung pengaruh Yang Dipertua Agung PAS itu. Dalam mesyuarat yang sama, telah diluluskan juga cadangan Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengadakan muktamar berasingan pada 4-6 Mac 1982 di Rusila, Terengganu. Tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat ini dilihat menyindir Dato' Mohd Asri Haji Muda seolah-oleh ia tidak mahu dirasmikan oleh Yang Dipertua Agung PAS. Akibat dua keputusan ini, Dato' Mohd Asri Haji Muda mula bertindak balas dengan membentuk Jawatankuasa Pemilihan Calon PAS pada 31 Mac 1982 bagi menapis calon untuk Pilihan Raya Umum 1982, walaupun ia bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS  tentang pemilihan calon sebelumnya.

Selepas Pilihan Raya Umum pada 22 April 1982, pada 5 Jun 1982, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan dalam satu pertemuan PAS Kelantan telah mengkritik tindakan Dato' Mohd Asri Haji Muda menyingkirkannya daripada mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan Calon PAS Kelantan, sehingga beliau menawarkan untuk meletakkan jawatan, tetapi ditolak.

Pada 24 Ogos 1982, Dato' Mohd Asri Haji Muda pula bertindak dengan 'mendakwa' tiga pimpinan PAS dalam Jawatankuasa Kerja Agung PAS untuk dikenakan tindakan tatatertib iaitu Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mengkritik kepemimpinan beliau secara terbuka; Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana isu kafir-mengkafir di Terengganu; dan Cikgu Mustafa Ali kerana lawatan beliau ke Iran.

Kemuncak kepada pergolakan ini, Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamarnya pada 30 Julai - 2 Ogos 1982 di Bukit Mertajam telah meluluskan usul kepemimpinan ulamak PAS, yang kemudiannya menjadi faktor Dato' Mohd Asri Haji Muda meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-28 pada 23 Oktober 1982.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
26 November 2016 - HARAKAHDAILY 26/11/2016

Share on Myspace