Sekretariat 'Himpunan 355' akan dibentuk

NASRUDIN HASSAN | .

YB Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS telah menyeru supaya satu himpunan umat Islam besar-besaran secara tertib dan aman diadakan sebelum Mac tahun hadapan bagi tujuan menjelaskan kenapa perlu Pindaan Akta 355 dan sekali gus memugar sokongan umat Islam terhadap Pindaan Akta 355 yang bakal memberi hak kepada Mahkamah Syariah berhukum berdasarkan undang-undang syariat.

Insya Allah pihak kami akan segera menubuhkan Sekretariat Himpunan 355 ini pada minggu hadapan yang mewakili parti politik, NGO, aktivis masyarakat dan tokoh individu. Sekretariat ini akan mengadakan sidang media khas sebaik sahaja ia ditubuhkan kelak bagi menjelaskan perkara yang perlu kepada umum.

Sekretariat ini akan menetapkan tarikh dan tempat "Himpunan 355" tersebut serta menggariskan objektif dan pelan bertindak bagi memastikan himpunan ini berjaya dilangsungkan dengan cemerlang kelak.

Himpunan 355 ini bakal menyaksikan satu kerjasama strategik dengan pelbagai pihak khasnya NGO-NGO Islam untuk mencetus kesedaran tinggi dalam kalangan umat Islam juga memahamkan rakan-rakan non muslim agar memberi sokongan padu  yang tidak berbelah bahagi ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah serta pelaksanaan undang-undang syariat Islam yang menjadi hak umat Islam di negara ini.

Sokongan ummat Islam tanpa mengira latar belakang parti politik, NGO, pendidikan, kaum, bangsa dan bahasa lidah demikian juga non muslim yang memahami bahawa ini adalah hak yang mesti dipulangkan kepada ummat Islam, adalah suatu yang sangat penting untuk berdepan dengan provokasi, ugutan dan ancaman melampau dari pihak tertentu yang mahu menggagalkan hasrat Pindaan Akta 355 dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang jahat.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 26/11/2016

Share on Myspace