Kerjasama semua negara tangani krisis pelarian

Nuramran | .

Dua insiden berasingan melibatkan letupan bom telah berlaku di khemah penempatan pelarian Souda di sebuah kepulauan Greece; Chios, minggu lalu menyaksikan banyak kecederaan dan kemusnahan harta benda. Serangan tersebut bagaimanapun, tidak meragut sebarang nyawa.

“Mereka ini berjaya melepaskan diri dari zon perang serta selamat dari insiden bot karam; (namun kini mereka) diserang dengan bom api dan batu,” ujar Claire Whelan; petugas Majlis Pelarian Norway (The Norwegian Refugee Council) kepada Al-Jazeera.

Dalam perkembangan lain, empat insiden bot karam dalam masa kurang tiga hari telah menyebabkan hampir 340 orang pelarian maut ataupun hilang; demikian menurut sumber Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (The International Organization for Migrasi).

Ekoran insiden itu, angka korban di Laut Mediterranean meningkat ke tahap paling tinggi pada tahun ini hingga mencatat lebih 4,500 kematian.

Angka tersebut bersamaan 14 kematian sehari di mana 1 kes berlaku setiap 100 minit di perairan itu.

Akibat perjanjian penuh kontroversi antara Kesatuan Eropah (EU) dengan negara Turki pada Mac lalu, pendatang dan pelarian yang tiba di Greece selepas 20 Mac telah ditempatkan di beberapa buah pusat di lima buah pulau; termasuk Pulau Chios, serta akan dihantar ke Turki sekiranya permohonan suaka mereka ditolak.

Perjanjian tersebut turut menutup pintu masuk ke Eropah di sebelah timur hingga memaksa sejumlah besar pelarian mengikuti laluan yang lebih merbahaya dari Libya ke Itali.

Sejak itu, angka kematian terus meningkat serta tekanan ke atas kepulauan Greece semakin memuncak ekoran proses yang lembab.

Awal tahun lalu, sempadan sepanjang ‘Koridor kemanusiaan’ ke utara Eropah di beberapa buah negara Balkan dan tengah Eropah ditutup; menyebabkan beribu-ribu pelarian terkandas.

Pagar turut didirikan manakala pihak tentera dikerahkan untuk memastikan tiada seorang pun yang dapat meneruskan perjalanan mereka.

“Negara-negara di bahagian tengah dan timur Eropah berfikiran cetek dengan menganggap sekiranya mereka menahan nafas, keadaan darurat akan berlalu," demikian pandangan yang dilontarkan profesor di Institut Universiti Eropah -the European University Institute, Prof. Anna Triandafillidou.

Katanya, sikap sesetengah negara Eropah yang hanya berlepas tangan dan membiarkan negara lain bekerjasama menghadapi krisis kemanusiaan ini merupakan ‘perbuatan pengecut’.

“Jerman telah menerima sekurang-kurangnya setengah juta permohonan suaka; Sweden 200,000 – sekiranya semua negara Eropah memainkan peranan masing-masing, darurat sebegini tidak akan berlaku.”

Secara keseluruhannya, seramai lebih 60 000 pelarian terkandas di Greece; 2,000 daripadanya berada di Chios. Menurut PBB, seramai kira-kira 800 orang pelarian berada di Kem Souda.

Greece mengalami krisis ekonomi yang teruk sejak tahun 2009, menyebabkan lebih separuh daripada golongan muda menganggur, serta sistem pendidikan dan kesihatan merudum. Malah, harapan untuk memulihkan kembali ekonomi dilihat amat tipis.

Manakala di pulau-pulau yang diduduki para pelarian, kelesuan industri pelancongan menyebabkan kerugian semakin bertambah.

“Chios sedang mengalami masalah yang nyata, tetapi satu-satunya pihak yang tidak boleh dipersalahkan adalah para pelarian yang hidup dalam suasana tidak berperikemanusiaan,” ujar seorang anggota kumpulan aktivis ‘Anti-Nazi Zone’, Takis Giannopoulos.

Menurut sumber Al-Jazeera, di sebalik serangan di Kem Souda, namun kebanyakan penduduk Greece memberi layanan yang baik kepada para pelarian.

“Ia mengejutkan; seolah-olah krisis kewangan yang berlaku mempersiapkan rakyat untuk memberi layanan baik kepada para pelarian,” kata Profesor Anna Triandafyllidou kepada Al-Jazeera.

“Kita perlu berusaha di segenap sudut serta mengakui bahawa migrasi adalah sebahagian daripada transformasi sosioekonomi menyeluruh; tiada di sana hanya satu polisi (tetapi) sesuai untuk semua,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, selagi penyelesaian sebenar tidak dicapai, selagi itulah serangan ke atas para pelarian akan berterusan dan angka kematian akan terus meningkat. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace