Wujudkan dasar elak harga makanan naik jika gula naik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu Kerajaan Persekutuan mewujudkan dasar baru bagi menangani isu kenaikan harga makanan sekiranya harga gula dinaikkan.

Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan harga gula bakal menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga makanan sekali gus membebankan pengguna, lapor SelangorKini.
 
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memantau pengusaha makanan dari menaikkan harga sesuka hati.

“Kita menjangkakan kenaikan harga makanan berlaku, harap KPDNKK ambil tindakan, kalau peniaga ambil kesempatan naik harga harga sewenang-wenangnya, gunakan akta pencatutan.

“Malah, kerajaan perlu wujudkan dasar baru kepada peniaga restoran sebagai contoh kenaikan hanya berlaku pada minuman yang bergula sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa yang sama, beliau mahu kenaikan terbabit tidak membebankan pengguna dan tidak mendadak.

Katanya, dari sudut positif, pengurangan gula dalam makanan adalah usaha yang baik bagi mengelakkan masalah kesihatan.

“Kerajaan perlu wujudkan kempen kesedaran tentang pengambilan gula dengan lebih berkesan.

“Pengguna boleh menggunakan jenis gula yang lain sebagai alternatif gula sedia ada,” katanya.

Khamis lalu, Kerajaan sedang mengkaji permintaan pengeluar gula bagi menaikkan harga gula berikutan kos gula mentah yang semakin meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perbincangan mengenai perkara itu telah dilakukan sejak sebulan lalu.

Share on Myspace