RUU 355: Pendirian Presiden MCA dialu-alukan

DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .

1. Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden MCA dalam satu laporan yang menyatakan bahawa MCA tidak menentang RUU 355 yang diusulkan oleh YB Marang. Tetapi mahukan ia dilaksanakan menurut kerangka perlembagaan.

2. Menurut Malaymailonline; "MCA president Datuk Seri Liow Tiong Lai today said that the party did not oppose the PAS’ private bill seeking to empower the Syariah courts. He said there had been a misunderstanding on MCA’s stand on the matter.

“I think there have been a lot of misunderstandings, saying that we oppose the bill. We just want it to be implemented according to the constitution."

- See more at: http://m.themalaymailonline.com/malaysia/article/mca-not-against-act-355-says-liow#sthash.0roMdkRU.dpuf

AKTA 355 (1965) ADALAH BERPERLEMBAGAAN

1. Suka saya jelaskan bahawa "Akta 355 Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah" telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1965 bagi menentukan had bidang kuasa berkaitan kadar hukuman jenayah Syariah yang boleh dibuat oleh Badan Perundangan Negeri, dijatuhkan, dan seterusnya dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah seluruh negara ini.

2. Ia adalah selaras dengan perlembagaan Malaysia dengan mengambil punca kuasa daripada Butiran 1, Senarai II - Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan iaitu:

 "...keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang­-undang persekutuan;..."

PINDAAN AKTA 355 (1984) ADALAH BERPERLEMBAGAAN

1. Akta 355 (1965) kemudian dipinda pada 1984 dengan ditingkatkan kadar hukuman daripada 6 bulan penjara kepada 3 tahun penjara, daripada 1000 ringgit denda kepada 5 ribu ringgit denda dan ditambah pula 6 kali sebatan.

2. Ia telah berkuatkuasa dengan mengikut perlembagaan sehingga ke saat ini di Mahkamah Syariah menerusi Enakmen Kesalahan Syariah di negeri-negeri dalam Malaysia.

RUU 355 (2016) ADALAH BERPERLEMBAGAAN

1. Selama tempoh 51 tahun, Akta 355 bermula 1965 sehingga pindaan 1984 sehingga hari ini adalah selaras dengan perlembagaan Malaysia.

2. Begitulah juga RUU 355 yang bertujuan mengusulkan peningkatan kadar hukuman, sama seperti tujuan pindaan 1984 adalah selaras dengan perlembagaan

3. RUU 355 yang diusulkan oleh YB Marang kali ini pada 24hb November 2016 adalah bagi meningkatkan kadar hukuman dalam Akta 355 pindaan 1984 (semakan 1988) yang terpakai sekarang daripada:

i. daripada penjara 3 tahun kepada penjara 30 tahun.

ii. daripada 5 ribu ringgit denda kepada 100 ribu ringgit denda

iii. daripada 6 kali sebatan kepada 100 kali sebatan menurut tatacara sebatan Syariah.

4. Sebagaimana peningkatan kadar hukuman pada pindaan 1984 adalah mengikut perlembagaan demikianlah RUU 355 yang bertujuan meningkatkan kadar hukuman juga adalah berperlembagaan.

IMPLIKASI

1. Untuk makluman, dengan cadangan pindaan ini, 3 kesalahan Syariah yang telah sedia disenaraikan sebagai kesalahan jenayah Syariah dalam Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri-negeri sekarang dapat ditingkatkan selaras menurut undang-undang Syariah yang sebenar iaitu:

i. 100 sebatan Syariah bagi kesalahan persetubuhan luar nikah bagi yang belum berkahwin.

ii. 80 sebatan Syariah bagi kesalahan Qazaf dan

iii. 40 hingga 80 sebatan Syariah bagi kesalahan minum minuman memabukkan.

2. Sebatan Syariah pula jauh lebih ringan berbanding sebatan sivil. Roh pada pelaksanaannya ialah menimbulkan keinsafan dan pengajaran. Sebatan Syariah tidak melukakan kulit apatah lagi daging, berbeza dengan sebatan sivil yang menyakitkan serta mencederakan.

3. RUU 355 pula adalah melibatkan pindaan bagi undang-undang di peringkat Parlimen bagi kegunaan Mahkamah Syariah yang bidangkuasanya adalah melibatkan orang Islam sahaja.

Semoga kenyataan Presiden MCA yang tidak menentang RUU 355 membuka jalan untuk ahli-ahli politik bukan Islam berusaha untuk memahami bahawa RUU 355 yang dibawa oleh YB Marang adalah dalam kerangka perlembagaan Malaysia.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahad 27 November 2016 - HARAKAHDAILY 27/11/2016

Share on Myspace