BNM menyokong RM atau mengumpul rizab?

DR ROSLI YAAKOP | .

Tidak mungkin Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan serentak dua operasi  yang bersifat “mutually exclusive” di dalam pasaran pertukaran asing? Operasi yang dimaksudkan ialah, pertama, membeli atau menyerap Ringgit Malaysia (RM) dari pasaran bertujuan menaikkan nilai pertukaran RM berbanding lain-lain mata wang. Kedua, menambahkan rizab antarabangsa dengan membeli atau menyerap mata wang asing dari pasaran.  Pada satu-satu ketika, BNM memasuki pasaran sama ada untuk membeli RM (menjual mata wang asing) atau menjual RM (membeli mata wang asing), bukan kedua-duanya sekali gus.

Seperti yang dilaporkan (NST Online, 18 November 2016), BNM memang ada memasuki pasaran untuk menghentikan kejatuhan nilai RM berikut kemenangan mengejut Donald Trump dalam pemilihan Presiden Amerika pada 8 Novmber lalu. Bermakna, ia membeli RM.
 
Bagaimana pun, seorang penganalisis pasaran, Leslie Shafler, di dalam artikel bertajuk “Malaysia Central Bank Shows Higher Forex Reserves Despite Ringgit Support“ (CNBC, 23 November 2016) mendakwa bahawa dalam dua minggu sejak 8 November 2016, BNM telah memasuki pasaran untuk menyokong RM dan pada masa yang sama mengumpulkan rizab mata wang asing. Menurut beliau, kalaulah BNM memasuki pasaran bertujuan menyokong RM, operasi itu sepatutnya membawa kepada pengurangan rizab pertukaran asingnya kerana di dalam operasi seperti ini, BNM menjual mata wang asing. Bila rizabnya bertambah, itu bermakna ia membeli mata wang asing dan ini, hakikatnya, tidak menyokong RM.

Beliau menzahirkan kehairanan mengenai perkara ini dan menyoal: “Bagaimanakah bank pusat Malaysia boleh campur tangan dalam pasaran dengan secara serentak menyokong Ringgit sambil menambah rizab mata wang asingnya.” (“How did Malaysia’s central bank manage to simultaneously meddle in markets to support its currency and increase its foreign exchange reserve”).

Dalam respons pada 25 November 2016 terhadap persoalan yang ditimbulkan BNM berkata: “As clearly indicated in the statement released on 22 November 2016, the international reserves position of Bank Negara Malaysia as at 15 November 2016 reflects transactions that transpired throughout the first half of the month.”

Respons ini mengelak dari menjawab soalan. Kalau tujuan BNM memasuki di pasaran untuk menyokong RM, tentulah rizabnya dibelanjakan tetapi dalam tempoh tersebut rizab BNM bertambah, bermakna, ia telah membeli mata wang asing.

Pada 22 November BNM mengumumkan bahawa setakat 15 November 2016, rizab antarabangsa berjumlah USD98.3 bilion (RM407.8 bilion) berbanding USD97.8 bilion (RM405.5 bilion) pada 30 Oktober 2016, menunjukkan kenaikan sebanyak USD500 juta  atau 0.5%. Dalam tempoh 9-25 November 2016 nilai RM terus menurun. Kalau anda membeli satu dolar Amerika di kaunter Maybank pada 8 November anda membayar RM4.287 tetapi pada 25 November, harganya naik ke RM4.53, bermakna nilai RM telah jatuh sebanyak RM0.243 atau 5.7%. Oleh itu, jelas, apa yang dilaksanakan BNM adalah menjurus kepada operasi membina rizab, bukan menyokong RM.

Ini menimbulkan persoalan - betulkah BNM memasuki pasaran untuk menyokong RM? Kalau betul,  kenapa nilai RM terus jatuh?  Ada dua jawapan. Pertama,  sebenarnya, BNM memasuki pasaran untuk membeli mata wang asing (untuk menambahkan rizab), bukan menyokong atau membeli RM seperti yang didakwa.  Sebab itu nilai RM terus jatuh. Kedua, mungkin peningkatan aliran keluar dana dari Malaysia berikutan kemenangan Trump (dikenali sebagai “Trump Tantrum effect”) dan faktor-faktor lain seperti skandal 1MDB dan harga minyak yang kekal rendah lebih dominan, menumpulkan sepenuhnya kesan operasi menyokong RM yang dilaksanakan BNM, bermakna, operasi itu langsung tidak berkesan. Sebab itu, nilai RM terus beraliran menurun. Kepada dua jawapan ini ditambah bahawa defisit keyakinan yang teruk terhadap kepimpinan politik dan ekonomi Malaysia juga menekan RM menyebabkan langkah menyokong RM oleh BNM menjadi tumpul, tidak berbekas langsung.

Apapun, yang jelas ialah BNM kini berdepan dengan dua pilihan sukar. Pertama, apakah ia harus membelanjakan rizab pertukaran asing yang berbaki untuk menyokong RM dengan harapan aliran menurun RM dapat dihentikan atau ditukar kepada menaik? Jika jalan ini dipilih, maka BNM harus akur melihat rizabnya mengecil. Atau, pilihan kedua, iaitu, BNM berbelanja membeli mata wang asing supaya rizabnya bertambah. Jika jalan ini dipilih, maka BNM terpaksa memerhatikan sahaja kuasa permintaan dan penawaran menentukan aras nilai RM.

Di antara dua pilihan ini, kebarangkaliannya adalah tinggi bahawa sekurang-kurangnya dalam jangka terdekat ini, BNM berkecenderungan memilih jalan membina rizab pertukaran asing dan membiarkan sahaja RM mencari arasnya sendiri. Kenapa?

Dalam penilaian Kumpulan Dana Antarabangsa (IMF) seperti yang terkandung di dalam laporan “IMF Article IV Consultation – Malaysia 2016,” ada disebut mengenai nilai pertukaran RM seperti berikut:

Facing sizeable capital outflows and a sharp fall in oil and commodity prices, the exchange rate depreciated substantially and BNM deployed reserves and there were only modest effects on domestic interest rates. Going forward, exchange rate flexibility should be the first line of defense to global financial volatility and external shocks. Reserves should be gradually rebuilt.”

Kenyataan ini membawa dua nasihat penting untuk BNM. Pertama, supaya mengekalkan regim kadar pertukaran terapung yang diamalkan sekarang kerana ianya adalah perisai ampuh untuk mempertahankan ekonomi Malaysia dari ketidaktentuan kewangan global dan kejutan luaran.  Dalam ketiadaan tanda-tanda jelas bahawa Malaysia mahu kembali ke regim kawalan modal dan pertukaran asing dikekang, timbul persepsi bahawa BNM akan terus membiarkan nilai RM ditentukan oleh kuasa pasaran. Regim kadar pertukaran terapong sekarang akan kekal.

Kedua, supaya membina semula rizab antarabangsanya. Diperhatikan bahawa dalam tempoh sejak penghujung tahun 2015 hinggalah sekarang rizab BNM terus bertambah. Pada 31 Disember 2015, rizab BNM berjumlah USD95.3 bilion. Ini telah meningkat kepada USD97.0 bilion pada 31 Mac 2016 dan USD97.5 bilion pada 30 September 2016. Yang terkini, rizab BNM telah meningkat kepada RM97.8 bilion (15 November 2016). Ini menunjukkan operasi membina semula rizab diutamakan selaras dengan nasihat IMF.

BNM memang ada menjalankan operasi menyokong RM dari masa ke semasa tetapi dalam dua tahun kebelakangan ini keberkesanannya menjadi tanda tanya.  Nilai RM terus menurun menunjukkan bahawa sokongan pembelian RM ditumpulkan oleh faktor-faktor lain yang lebih dominan. Dalam tempoh dua bulan (Oktober – November 2016) terakhir  ini, nilai RM jatuh dengan ketara. Pada 3 Oktober 2016, dolar Amerika boleh dibeli di kaunter Maybank pada kadar USD1.00 = RM4.211 tetapi pada 25 November 2016 kadarnya ialah USD1.00 = RM4.570, jatuh sebanyak RM0.359 atau 8.5%. Rizab dibelanjakan tetapi nilai RM gagal dipertahankan.  Dalam keadaan ini untuk BNM terus mengorbankan rizabnya adalah kaunterproduktif.

Pergerakan RM sudah terlepas dari kawalan. Ini diakui sendiri oleh MO1 semasa persidangan APEC di Lima, Peru baru-baru ini. Juga, nilai RM diurusniagakan di bawah kadar yang konsisten dengan fundamental ekonomi semasa. Ini diakui BNM. Tambahan pula, keutamaan BNM ialah membina rizab antarabangsanya. Ini nasihat IMF. Dalam keadaan ini, wujud keperluan mendesak untuk BNM mumulihkan RM dan dalam masa yang sama membina semula rizab. Untuk mencapai ini pilihan yang logikal walaupun getir ialah kembali semula ke regim kawalan modal dan kadar pertukaran terkekang. Juga, dalam skala yang lebih meluas, defisit keyakinan perlu ditangani segera. - HARAKAHDAILY 28/11/2016

Share on Myspace