Sejarah: Umno arah Exco PMS46 letak jawatan

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: UMNO ARAH EXCO PMS46 LETAK JAWATAN UNTUK SELESAIKAN KRISIS POLITIK KELANTAN (28 NOVEMBER 1996)

PADA hari ini dalam tahun 1996, Majlis Tertinggi Umno telah mengarahkan empat orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan dari bekas Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyertai semula Umno supaya meletakkan jawatan. Krisis politik Kelantan yang tercetus sejak selepas Pilihan Raya Umum 1995 telah membawa kepada putusnya kerjasama politik PAS-PMS46 mulai 14 Julai 1996. Walaupun PMS46 telah menjadi pembangkang, namun empat Ahli Exco mereka telah bertindak untuk tidak melepaskan jawatan sehingga menimbulkan krisis politik di Kelantan.

PAS yang telah membentuk kerjasama politik dengan PMS46 menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) sejak 1988 telah berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum 1990. Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum 1995, PAS berjaya mempertahankan 24 kerusi DUN Kelantan, berbanding 12 kerusi untuk PMS46. Sejak itu, berlaku pergeseran antara kedua-dua parti berkait perlantikan jawatan-jawatan politik, termasuk jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat di mana PMS46 tidak menyokong calon PAS. Pergolakan panjang ini telah mendorong timbulnya cadangan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Oktober 1995 supaya kerjasama kedua-dua parti dikaji semula, diikuti oleh Laporan Jawatankuasa Post-Mortem Pilihan Raya PAS pada 20 Januari 1995 yang menganggap kerjasama dengan PMS46 tidak menguntungkan PAS. Di pihak PMS46, selain menimbulkan beberapa isu dalam pentadbiran kerajaan, pemimpin utamanya, Tengku Razaliegh Hamzah telah menyatakan hasratnya pada 13 April 1996 untuk menyertai semula Umno. Krisis ini berakhir dengan PAS pada 14 Julai 1996 mengambil tindakan memutuskan hubungan dengan PMS46.

Keputusan PAS ini telah menyebabkan PMS46 telah menjadi pembangkang di Kelantan, dan PAS pada 17 Julai 1996 bercadang melantik dua ADUN PMS46 yang telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai PAS sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan mengisi empat kerusi PMS46 sebelum ini. Namun begitu, empat Ahli Exco dari PMS46 itu enggan meletakkan jawatan sehingga dipecat oleh Sultan Kelantan, sedang pihak Istana Kelantan sedang berkrisis dengan Kerajaan PAS Kelantan ketika ini. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat kemudiannya pada 19 Julai 1996 telah melucutkan portfolio semua Ahli Exco berkenaan. Pada 6 Oktober 1996, Perhimpunan Agung PMS46 telah membubarkan parti tersebut untuk membolehkan mereka menyertai semula Umno pada 8 Oktober 1996.

Dalam menangani krisis ini, Menteri Besar Kelantan pada 15 Oktober 1996 telah membuat kenyataan tentang kesediaan PAS bekerjasama dengan Umno, dan disambut oleh Datuk Anuar Musa, Pengerusi BN Kelantan supaya kerajaan campuran PAS-UMNO dibentuk di Kelantan. Pada 28 November 1996, Majlis Tertinggi Umno telah menolak cadangan ini, sekali gus mengarahkan empat ADUN PMS46 yang menyertai Umno tersebut melepaskan jawatan sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Akhirnya, pada 27 Mei 1997, empat ADUN PAS, Haji Hassan Abdullah (Pengkalan Pasir), Ustaz Haji Ahmad Yakub (Pasir Pekan), Ustaz Abdullah Yaakob (Air Lanas) dan Ustaz Hassan Mohamad (Kemuning) mengangkat sumpah sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang baru.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
28 November 2016 - HARAKAHDAILY 28/11/2016

Share on Myspace