SAM bimbang ancaman JE berulang di Tanjung Sepat

SM MOHAMED IDRIS | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Selangor memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran najis babi yang berlaku di Tanjung Sepat daerah Kuala Langat ketika ini.

Masalah yang berlarutan sejak berpuluh tahun yang lalu itu bukan saja menjejaskan alam sekitar di kawasan berkenaan malah turut mengancam sumber pendapatan nelayan, hutan paya bakau dan hidupan laut di perairan tersebut.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati kira-kira 1,000 nelayan di kawasan ini mengeluh  kerana tempat mereka mencari rezeki semakin teruk tercemar dan tidak ada tindakan berkesan yang diambil walaupun masalah itu sudah sampai ke pengetahuan pihak berkuasa berkenaan.

Peniaga-peniaga makanan dan orang ramai yang menjamu selera merungut dengan bau busuk yang meloyakan ini dan bimbang perniagaan mereka merosot dan kesihatan orang ramai terjejas pada masa akan datang jika pihak kerajaan terus berdiam diri mengenai isu ini.

SAM kesal kerana penternak-penternak babi di kawasan ini dengan sewenang-wenangnya membuang sisa najis binatang itu ke dalam parit, sungai serta laut menyebabkan kampung-kampung berhampiran diselubungi bau busuk, manakala sistem pengairan di kawasan tersebut pula menjadi hitam akibat mendapan najis binatang itu.

Penternakan babi dan pencemaran najis babi  mendedahkan penduduk-penduduk kampung yang terlibat termasuk para pengunjung Pantai Morib kepada jangkitan virus Japanese Encephalitis (JE) dan jangkitan bakteria Escherichia Coli (E.Coli).

Di samping itu pendapatan nelayan-nelayan di sini juga telah merosot dari lebih RM800 sebulan kepada RM600 sebulan. Selain ikan dan udang berkurangan, ketam, lokan, dan mentarang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka sebelum ini kian pupus akibat kemusnahan hutan paya bakau yang berlaku.

Sehubungan itu SAM berharap kerajaan Selangor, kementerian dan jabatan yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan tegas supaya kejadian ancaman JE seperti yang berlaku di Bukit Pelanduk Negeri Sembilan 15 tahun yang lalu tidak berulang.

SAM mencadangkan supaya pihak berkenaan membuat pemantauan secara berterusan di semua ladang ternakan babi di sini dan laporan terkini berkaitan masalah tersebut didedahkan kepada umum terutama penduduk tempatan bagi meredakan perasaan bimbang yang membelenggu diri mereka selama ini. - HARAKAHDAILY 28/11/2016

Penulis ialah Presiden SAM.

Share on Myspace