Iktibar daripada amalan politik pemangsa

IZWAN ABDUL HALIM | .

KANCAH politik dengan memangsa dan menyerang pihak lain demi untuk melonjak dan mengukuhkan kedudukan diri adalah amalan politikus Machievelli. Haiwan politik seperti ini lebih bahaya daripada tentera bersenjata kerana boleh tampil dalam pelbagai hipokrit rupa. Namun, ia rapuh dan busuknya pasti terhidu sebagaimana kebatilan tidak selamanya bertahan, kebenaran pasti muncul jua.

Menjatuhkan TSKI

Masih tidak terlalu jauh untuk imbas kembali tuduhan ke atas mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI). Bukan musuh dari kalangan parti lawan, tetapi rakan satu parti sendiri memangsakan beliau. Integriti dan kecemerlangannya menerajui Kerajaan Negeri Selangor dirobek dengan senarai panjang fitnah.

Semua gara-gara 'Langkah Kajang' yang konon distrategikan 'Budak Pintar' Rafizi Ramli. Malangnya rancangan gopoh itu menjadi 'kejang', malah menggugat keutuhan koalisi PAS, PKR dan DAP serta kestabilan kerajaan negeri yang dipimpin bersama.

Kesudahan drama pincang ini Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail gagal 'diproksikan' untuk menjadi MB. Saifuddin Nasution dan PKR pula terpaksa memohon maaf kepada TSKI di mahkamah atas semua rekayasa memalukan. Sementara Rafizi melutut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang berperanan meringkukkan bosnya, Datuk' Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara.

Kesan lain yang tidak harmoni apabila tercalarnya hubungan dengan istana atas kedegilan ditunjukkan hingga mengundang murka Tuanku Sultan dan penarikan darjah kebesaran.

Banjir Kelantan

Bukan hanya TSKI, turut menjadi mangsa adalah PAS kerana tidak menjadi 'Pak Turut' mereka. Sedangkan PAS bertegas atas prinsip mempertahan dan mengukuhkan kepimpinan yang sah daripada mandat rakyat.

Lalu, musibah banjir dijadikan kesempatan melunaskan dendam; Kerajaan Negeri Kelantan diserang mereka. DAP tampil menghulur bantuan tetapi diberi menerusi 'agen berkepentingan' mereka, tanpa beradab dengan kepimpinan negeri. Malah, mulut lancangnya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (LGE) angkuh menempelak Kerajaan Negeri Kelantan sebagai lemah mengurus banjir.

Tetapi Allah menunjukkan kuasa-Nya, banjir yang menimpa Pulau Pinang sejak tahun lepas semakin buruk tanpa dapat ditangani sebaiknya LGE. Juga terdedah, betapa Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendapat peruntukan besar untuk menangani banjir dari Kerajaan Persekutuan yang diterajui BN.

Setuju Tidak Bersetuju

Usaha mengangkat Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Dun Kelantan dikecam kuat DAP. PAS difitnah melanggar perjanjian Pakatan Rakyat, sedangkan terma tersebut tidak wujud. Malah, pernah dimeterai perjanjian “Bersetuju Untuk Tidak Bersetuju” antaranya melibatkan perjuangan dasar parti masing-masing.

Memartabatkan syariah adalah perintah Allah dan PAS hanya menunaikan taklifan berkaitannya. Malah, diangkat usaha itu sebelum wujud Pakatan Rakyat. Ia juga perjuangan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering mereka sandarkan namanya secara salah.

Meroyan dan melalak DAP, serta secara jahat menuduh PAS bersama Umno untuk tujuan itu. DAP cuba jadi ‘Abang Besar’ memaksa PAS tinggalkan kewajipan itu.

Di sebalik semua desakan itu, DAP sebenarnya lebih khianat apabila mahu melaksanakan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan yang tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui Pakatan Rakyat. Bahkan ‘berselingkuh’ dengan BN merundingi projek jambatan serta kelihatan lebih mesra bersama pimpinan Umno-BN.

Catur Buang TGHH

Kecewa para pencatur politik dengan pendirian teguh PAS, maka batang tubuh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang cuba dimangsakan. Ketidakhadiran beliau ke Mesyuarat Pakatan Rakyat dan sidang Parlimen dimomok isukan. Walhal apabila disemak rekod kehadiran, disiplin komitmen beliau jauh lebih baik.

Semakin berang mereka kepada beliau tidak tertahan lagi apabila DAP secara terang-terangan campur tangan dalam rumah tangga PAS. Setelah gagal memperkudakan 'anak-anak derhaka' (yang akhirnya menubuhkan PAN), dilobi mereka 'pasukan baharu' kepimpinan tajaan mereka pada pemilihan Muktamar PAS.

Bahkan terdahulu, DAP Sarawak dan Sabah memutuskan hubungan dengan PAS, begitu juga DAPSY terhadap Pemuda PAS, diikuti pengisytiharan DAP putus hubungan dengan TGHH.

PRN Sarawak

Kecurangan hubungan DAP, PKR dan PAN makin terserlah pada PRN Sarawak. Bagaikan haiwan karnivor, mereka saling menyerang dan memangsakan apabila bertembung kerusi ditandingi.

Lebih lagilah kepada PAS yang dimangsakan dengan pelbagai tuduhan dan gangguan menggunakan PAN. Natijahnya, gabungan bernama Pakatan Harapan (PH) itu tidak membawa sebarang impian untuk masa depan Sarawak.

Skandal & Korupsi

Ghairah sungguh cybertrooper dan media upahan menyerang pimpinan PAS dengan isu-isu pemilikan kenderaan dan rumah, pembalakan, suapan wang RM90 juta dan hasil perlombongan. Hidangan makanan kepada pimpinan PAS juga diisukan.

Malangnya yang meletup terdedah serta berhadapan siasatan dan pendakwaan adalah isu banglo mewah LGE. Begitu juga kejutan dari deretan kenderaan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin dan banglo mewah Ketua AMK Ampang, Adam Rosly.

Pujuk Rayu

Sayu hati mendengar pelbagai pujuk rayu pimpinan PH kepada PAS untuk bersama, akui iktiraf dan seia sekata dengan permintaan mereka. Lebih mencemaskan mereka apabila analisis banyak pihak menunjukkan perlunya PAS dalam menjayakan pelbagai agenda politik negara.

Peliknya sebelum itu mereka mengkeronyok PAS seteruk-teruknya hingga pimpinan PAS kehairanan mencongak logik rakan pembangkang menyerang sesama parti pembangkang.

Lobi – Laga

Gerakan untuk menjatuhkan TGHH tidak berakhir dengan keluar para perancang berkenaan menubuhkan wadah-wadah lain. Dilobi dan dicanang Timbalan Presiden PAS, Ustaz Datuk' Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengambil alih kedudukan Presiden. Juga cuba dilaga-lagakan dengan dakwaan tidak sefahaman.

Terbaru, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad pula disasarkan dengan tuduhan korup dan menentang TGHH yang dihujahkan secara telahan andaian berbayang serkap jarang.

Kesiannya yang timbul apabila LGE terpaksa umum Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggantikannya nanti. Manakala Rafizi Ramli secara rasmi melepaskan jawatan Setiausaha Agung PKR dan menyerahkannya kepada Saifuddin Nasution. – HARAKAHDAILY 28/11/2016

Share on Myspace