Penghapusan etnik Rohingya misi utama Myanmar

ASMAA YUSOF | .

Tentera Myanmar kini giat menjalankan operasi penghapusan etnik Muslim Rohingya melalui pelbagai bentuk penganiayaan termasuk merogol, penyeksaan dan juga pembunuhan terhadap ribuan mangsa yang cuba melarikan diri ke Bangladesh.

Demikian menurut salah seorang Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB kepada agensi berita Al-Jazeera bertarikh 25 November.

Selain itu, PBB turut melaporkan lebih 30,000 penduduk terpaksa menyelamatkan diri mereka meninggalkan rumah kediaman sebelum menjadi mangsa kezaliman di negara sendiri.

Memetik sumber sama, Ketua Agensi Pelarian Pertubuhan di Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), John McKissick memberitahu bahawa tentera telah melakukan kezaliman dengan membunuh, menyembelih kanak-kanak, merogol wanita, membakar rumah serta memaksa mangsa kezaliman menyeberangi sungai ke Bangladesh.

Malangnya, Bangladesh telah menolak rayuan antarabangsa yang mendesak mereka untuk membuka sempadan bagi menerima pelarian Rohingya.

John McKissick turut kesal dengan sikap tidak peduli Bangladesh dan menyifatkan tindakan tersebut akan merancakkan lagi siri keganasan di Myanmar sehingga matlamat utama pembersihan etnik Rohingya tercapai.

Sehubungan itu, jurucakap Presiden Myanmar, Htin Kyaw, membidas komen John McKissick tersebut.

Beliau dipetik berkata, tuduhan yang dilemparkan McKissick adalah tidak berasas.

Katanya, McKissick sepatutnya bercakap berdasarkan bukti yang kukuh dan benar tanpa melakukan sebarang tuduhan.

Hal sama turut disuarakan sebuah badan NGO Kemanusiaan, Human Rights’ Watch (HRW) pada April 2013 lalu.

Menurut badan NGO tersebut, Presiden Myanmar ketika itu, Thein Sein mendakwa telahan diajukan terhadap kerajaan Myamar sedang mengadakan kempen pembersihan etnik adalah palsu dan hanya mahu memburuk-burukkan mereka. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace