Warna-warni PAS dalam politik tidak dapat ditandingi

MOHD ZUHDI MARSUKI | .

MENERAJUI BUDAYA POLITIK MATANG DAN SEJAHTERA
Dari Meja: Pusat Penyelidikan PAS (PPP)

SETELAH 59 tahun mencapai kemerdekaan, politik Malaysia sewajarnya sudah menganjak kepada sebuah gagasan dan amalan berpolitik masyarakat yang berperadaban. Tempoh lebih setengah abad itu sepatutnya telah mendidik parti politik dan ahli politik tentang politik Malaysia, iaitu meliputi tujuan utama berpolitik, tonggak perlembagaan yang menjadi asas politik, akar-umbi budaya yang mewarnakan corak politik dan faktor kestabilan politik negara ini.

Selain itu, mereka harus juga mempelajari sebahagian gagasan dan amalan berpolitik masyarakat negara maju sebagai tambahan kepada jati diri politik Malaysia yang tersendiri. Perkara seperti inilah yang menjadi ramuan asas kepada politik Malaysia ke arah kematangan dan kesejahteraan.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai salah sebuah parti politik yang tertua di Malaysia, telah melalui pelbagai episod politik, bermula dari zaman sebelum merdeka sehinggalah hari ini. Dalam kalangan parti pembangkang, PAS adalah satu-satunya parti politik sebelum merdeka yang masih utuh mengharungi cabaran-cabaran politik Malaysia.

PAS telah melalui pelbagai peristiwa masam-manis dan pahit-getir dalam berpolitik di seluruh pelusuk negara, dari Perlis hingga ke Sabah. Keberadaan PAS sepanjang warna-warni politik Malaysia ini tidak dapat ditandingi termasuklah oleh Umno, MCA dan MIC yang tidak pernah berada di luar kerajaan. Oleh sebab itu, PAS yang sudah begitu lama berpengalaman dalam arena politik, kini bersedia menerajui satu budaya politik baru yang matang dan sejahtera.

Politik Malaysia kini sudah tepu dan buntu, disebabkan begitu lamanya parti yang menerajui kerajaan memerintah negara sejak Merdeka sehinggalah hari ini. Situasi ini menyebabkan Barisan Nasional (BN) menjadi sebuah kerajaan begar yang sering memekak telinga daripada mendengar kritikan dan keluhan rakyat.

Manakala parti pembangkang pula telah menunggu sekian lama untuk diberi peluang menerajui negara sehingga mereka langsung tidak mempunyai pengalaman berada sebagai kerajaan kecuali PAS. Mereka menjadi pembangkang tegar yang sering mengkritik secara membuta tuli demi kepentingan politik, di samping bersifat populis. Hal yang sedemikian, menyebabkan pertembungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah dilihat sebagai pertembungan zero-sum game.

Pertembungan zero-sum game ini kemudiannya telah mengheret sekelompok rakyat untuk turut berpihak. Sebilangan rakyat berpihak kepada BN dan sebilangan rakyat pula berpihak kepada PH. Kadangkala pertembungan antara kedua-dua belah pihak ini berlaku secara fizikal, sepertimana yang ditunjukkan oleh Baju Kuning dan Baju Merah.

Kumpulan Baju Kuning majoritinya adalah masyarakat bukan Melayu, manakala kumpulan Baju Merah hampir keseluruhannya masyarakat bumiputera Melayu. Hampir-hampir sahaja pertembungan seperti ini boleh dikaitkan dengan ketegangan antara kaum sekiranya tidak dibendung. Sebenarnya, dengan membiarkan pertembungan zero-sum game ini, membawa aliran politik negara berundur jauh ke belakang.

Dalam kalangan pemimpin parti pula, khususnya golongan pembuat dasar (MP dan Adun), Parlimen dan Dun turut diseret menjadi medan pertembungan seperti ini. Wakil parti kerajaan yang begar dan parti pembangkang yang tegar sukar sama sekali mencapai kata sepakat dalam sesuatu isu. Yang menjadi keutamaan bukan lagi maslahah rakyat tetapi kepentingan parti yang mereka sangkakan sebagai kepentingan rakyat.

Natijahnya, apa sahaja yang dikemukakan oleh kerajaan mesti dibangkang dan apa sahaja yang dikritik oleh pembangkang mesti dikekang, seperti sudah menjadi kebiasaan di dewan-dewan yang disebut mulia oleh kedua-dua pihak. Tidak mustahil sedikit masa lagi akan ada wakil rakyat yang bertembung secara fizikal di dalam dewan-dewan yang mulia ini.

Ketepuan dan kebuntuan politik seperti ini tidak akan berpenghujung sekiranya masing-masing dengan sikap begar dan tegarnya. Wajah politik Malaysia mesti dipugar dan disegarkan kembali dengan budaya berpolitik yang matang dan membawa kesejahteraan kepada negara.

Politik yang matang dan sejahtera ini mesti dimulakan dengan meletakkan kembali tunjang-tunjang penting dalam berpolitik, iaitu akar umbi budaya dan kontrak sosial yang membentuk negara Malaysia seperti yang terangkum di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada ketika yang sama, pertembungan politik zero-sum game mesti dihindarkan dengan memperbanyakkan pendekatan permuafakatan dan mengurangkan pendekatan serang-menyerang. Seterusnya, maslahah rakyat mestilah menjadi keutamaan bukannya faedah parti.

PAS sedang berusaha mengislah, mereformasi atau mentransformasikan budaya berpolitik di Malaysia ke arah budaya politik matang dan sejahtera. Budaya politik matang dan sejahtera ini akan menghindarkan pertembungan politik zero-sum game, seterusnya meletakkan kepentingan agama, negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik untuk mengekalkan kuasa atau untuk merampas kuasa.

Ketika mana kebanyakan parti termasuklah parti yang ‘baru tumbuh gigi’ sedang bergelut untuk mengekalkan kuasa atau untuk merampas kuasa, PAS sedang mengorak langkah untuk menerajui satu budaya politik baru ke arah kesejahteraan dan kebaikan. PAS yakin rakyat negara ini sudah jemu berpolitik dengan budaya mentah dan sengsara yang tidak lagi mempunyai masa depan. – HARAKAHDAILY 29/11/2016

Share on Myspace