Muslim Amerika diancam ugutan dan serangan

AKHIR MUHAMMAD | .

Beberapa surat layang berbaur ancaman terhadap penduduk muslim California telah diedarkan ke tiga buah masjid berdekatan dengan amaran bahawa ‘Presiden Donald Trump akan membersihkan Amerika Syarikat daripada penduduk muslim’.

Demikian menurut salah seorang pemimpin masyarakat muslim di sana berkenaan insiden yang berlaku sebagaimana dipetik dari agensi berita Al-Jazeera bertarikh 28 November.

Menurut Hussam Ayloush, pada hari Sabtu lalu, surat yang sama dan dicop seperti ia dihantar dari Santa Clarita; terletak di utara Los Angeles.

Katanya, pihak mereka akan memohon pertimbangan daripada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk memeriksa surat tersebut yang dipercayai telah dihantar sebelum ini ke beberapa buah masjid lain awal minggu lalu.

Dalam satu perkembangan berkaitan, sejurus kemenangan Trump pada pilihan raya presiden 8 November lalu, beberapa kumpulan hak asasi telah memberi amaran kepada mana-mana pihak yang merancang sebarang serangan mensasarkan golongan minoriti, termasuk orang Islam.

Namun, terdapat juga laporan menyatakan gangguan dan ancaman kepada penyokong Trump.

Antara tempat surat-surat tersebut diedarkan adalah pusat-pusat Islam di Pantai Long dan Claremont, selatan California serta Pusat Islam Evergreen di bandar utara California; San Jose.

“Kalian semua orang Islam seharusnya bertindak bijak dengan mengemas barang-barang anda dan berambus dari Dodge,” memetik surat layang yang diedarkan itu.

Menurut Ayloush yang merupakan Pengarah Eksekutif Majlis Hubungan Amerika-Islam Los Angeles (CAIR), beliau telah menasihati tiga buah masjid tersebut supaya memberi kerjasama dengan pihak polis dalam siasatan terhadap kesalahan jenayah kebencian itu.

Di samping itu, pihak polis San Jose dalam satu kenyataan menyatakan selepas mendapat satu laporan berkenaan surat itu, mereka telah ke Pusat Islam Evergreen Khamis lalu serta berkata siasatan akan dijalankan oleh satu unit yang mengendalikan kes jenayah kebencian sebegitu.

Tahun lalu, selaku calon Parti Republikan, Trump telah menggesa larangan sementara untuk umat Islam memasuki Amerika Syarikat.

Manakala pada tahun ini, Trump berjanji untuk menggantung imigresen dari mana-mana negara umat Islam namun tidak mengulangi larangan yang pernah dia suarakan dahulu.

Trump yang memenangi pilihan raya Presiden, serta bakal menghuni Rumah Putih 20 Januari nanti berjanji akan ‘menjadi presiden untuk semua rakyat Amerika’.

Walau bagaimanapun, sejak kemenangan Trump itu, CAIR telah merekodkan lebih 100 insiden yang mensasarkan umat Islam di Amerika Syarikat telah berlaku. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace