Ini sebabnya kenapa kini banjir kilat melanda P. Pinang

ISZUREE IBRAHIM | .

TIADA BEZANYA ANTARA KERAJAAN BN SEBELUM 2008 DAN KERAJAAN DAP SELEPAS 2008 , SELERA PEMAJU DIUTAMAKAN MENJADI ANTARA PUNCA MUSIBAH BANJIR DI PULAU PINANG

(Gambar di atas menunjukkan Air terjun Pak Lah di Bayan Lepas yang semakin rosak alam sekitarnya hasil dari pembangunan yang melampau tanpa mengambil berat pemiliharaan Alam.)


MERUJUK kepada Sidang DUN P. Pinang baru-baru ini Adun DAP Bukit Berapit telah mengkritik Kerajaannya sendiri supaya menghentikan kerancakan pembangunan dan mencari jalan menyelesaikan masalah banjir yang kronik di P.Pinang.

Ia agak memualkan lagi apabila KM mengkritik dengan nada Sombong keatas Kerajaan Kelantan kononnya tidak tahu mengurus Negeri Kelantan semasa Banjir Besar 2015 lalu. Namun Allah Maha Berkuasa telah menurunkan limpahan hujan yang sama kepada Negeri P.Pinang baru-baru ini sejak bulan Oktober lalu yang mengakibatkan banyak Kawasan khususnya di George Town telah di tengelami air yang sepatutnya mustahil berlaku kerana kononnya kerajaan Pulau Pinang mendakwa mempunyai sistem pengawalan banjir yang paling efisyen dan efektif dalam mengurus Banjir di negara ini.

Jika di rujuk semula kepada Sidang Muktamar PAS September 2014 di Batu Pahat Johor yang gegak gempita sebaik selesai muktamar di media arus perdana dan Media Sosial isu pemecatan Ahli Majlis Perbandaran PAS setelah mengkritik cara kaedah Kerajaan Negeri (KN) yang kelihatan amat PRO PEMAJU dalam mengurus isu Kampung Kampung Warisan Melayu yang berdepan dengan perobohon dan tindakan Makamah oleh Pemaju keatas penduduk kampung .

Ini tidak selari dengan Janji Manifesto PRU 13 Pakatan Rakyat P.Pinang yang dinyatakan dalam manifestonya akan mempertahankan rakyat dan pembelaan kepada Kampung Kampung warisan sepertimana Kampung Buah Pala di Bukit Gelugur yang mendapat pembelaan Kerajaan Negeri.

Sebanyak 3 memorandum Lajnah Tanah PAS Negeri P.Pinang ketika 2013/2014 telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri namun ia di pandang sinis dan tidak acuh oleh Kerajaan Negeri tanpa apa-apa tindakan positif. Ini menyebabkan semua isi kandungan memorandum berkenaan digarap kembali dan dilontarkan kepada tatapan muktamirin dan perwakilan serta media demi untuk mendapat perhatian pimpinan PAS pusat serta rakyat Malaysia amnya berkaitan apa yang sedang berlaku di P.Pinang sepanjang PAS bersama Kerajaan Pakatan Rakyat di P.Pinang.

Setelah 2 tahun (2014-2016)  kritikan di Muktamar Batu Pahat berlalu Kenyataan yang ditegaskan iaitu "TIADA BEZANYA KERAJAAN BN SEBELUM 2008 DAN KERAJAAN DAP SELEPAS 2008" yang bersifat PRO PEMAJU AMAT JELAS DAN BERASAS KINI dan TERBUKTI BENAR sama sekali sehingga berlakunya kepupusan 25 kampung warisan Melayu yang disambung legasinya oleh Kerajaan DAP dari Kerajaan BN.

Projek Pembangunan yang tidak seimbang ini lebih kepada memenuhi tembolok pemaju di P.Pinang atas suatu agenda tersembunyi dalam menghakis kependudukan kaum Melayu Islam dalam pulau dengan memberi kelulusan pembinaan projek perumahan rumah mewah secara tidak langsung  telah menjurus kepada penyebab  punca banjir kilat yang membebani rakyat kebelakangan ini.

Ketidaklestarian perancangan dan keseimbangan pembangunan ini telah menyebabkan berlakunya penerokaan cerun bukit yang melampau bertambah buruk lagi apabila pembangunan ini tidak selari dengan peningkatan dan penambahan Saliran yang baru malah gagal  dinaik taraf saliran saliran sedia ada selari dengan kerancakan Pembangunan  yang mendadak.

Ini jelas menunjukkan kegagalan Kerajaan Negeri merancang dengan baik ditambah  lagi dengan kegelojohan pemaju menjadi punca ketidakmampuan saliran menampung curahan hujan yang melampau yang tidak dijangka oleh Kerajaan Negeri  adalah kesan yang membawa kepada banjir kilat berlumpur setelah dengan rakus bukit dan alam sekitar diancam.

Sebagai contoh kita boleh lihat apa yang telah berlaku kepada air terjun Pak Lah di Bayan lepas yang rosak disebabkan pembangunan yang tidak mengambil kira faktor pemeliharaan Alam Sekitar.

Keadaan Ini menunjukkan kerajaan gagal memberi keutamaan dan fokus kepada faktor Penjagaan Alam Sekitar (seperti yang sering kali disuarakan kebimbangan oleh beberapa Ngo seperti CAP, Sahabat Alam Malaysia dan Ngo Teroka), pembangunan Saliran dan perparitan dan terlalu galak memberi fokus kepada kelulusan projek yang menguntungkan KN melalui fee caj- embangunan yang telah dinaikkan dan dikenakan kepada Pemaju sebagai sumber Pendapatan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri .

Perancangan dan kelulusan PBT keatas sesuatu projek kelihatan tidak selari dengan realiti ditapak projek apabila garis panduan PBT yang ditetapkan keatas sesuatu  projek yang gagal dipatuhi oleh pemaju menyebabkan ia menjadi tekanan kepada PBT yang menimbulkan satu pesepsi ketidakcekapan Pemantuan dan penguatkuasaan Garis Panduan Pembangunan oleh jabatan jabatan seperti Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Perancang PBT disebabkan adanya campurtangan KN atas desakan pemaju.  

Sebagai contoh seperti yang berlaku kepada Bukit Gambir yang digondolkan sejak 2011/2012 dibiarkan berlaku hasil pengaruh akrabnya pemaju dengan Kerajaan Negeri sehingga terbatasnya kuasa PBT untuk mengambil tindakan diperingkat awal untuk mengawal pengondolan dan tarahan bukit berkenaan yang jelas kelihatan dari Jambatan Pulau Pinang, walaupun PBT telah mengetahui aktiviti aktiviti pengondolan sedang berlaku lebih awal.

Kelemahan Penguatkuasaan ini memberi indikasi bahawasanya yang merancang adalah Pemaju bukannya PBT dan Kerajaan Negeri.

One stop center @ OSC dalam PBT adalah Jawatan kuasa berautoriti yang sepatutnya membuat  kelulusan berpandukan garis panduan yang diperuntukan kepada PBT. Namun adakalanya PBT perlu melutut atas desakan Ketua KN.  

Pernah suatu ketika pada pertengahan 2014 telah menjadi perbalahan antara Ahli Majlis OSC dari 2 buah parti sehingga mengakibatkan Ketua Whip yang menentang projek yang tidak mengikut garis panduan plot ratios Jabatan Perancang PBT telah digantung dari menjadi anggota Ahli mesyuarat OSC oleh Ketua Kerajaan Negeri di era sebelum Ahli Majlis PAS dipecat pada hujung 2014.

Ini memperlihatkan terlalu jelas Kerajaan Negeri cuba memenuhi selera kepada PEMAJU walaupun plot ratios yang dicadangkan oleh Ahli Majlis Pro Pemaju adalah tidak mengikut garis panduan perancang PBT malah lebih tinggi iaitu 1:7 berbanding dengan Plot Ratio Jabatan Perancang PBT yang sah adalah 1:5.

Jika projek ini diluluskan akan menyebabkan densiti (kepadatan penduduk) bertambah keterlaluan yang akan menyebabkan kesesakan yang tinggi disekitar perumahan berkenaan. Manakala situasi ini pula memberi keuntungan kepada pemaju yang amat lumayan disebabkan bertambahnya plot ratio (1:7 berbanding syarat perancang PBT 1:5) bermakna bertambahlah unit rumah kondo dapat dibina dan di jual diatas struktur bangunan yang sama yang memerlukan tambahan tingkat atau dikecilkan setiap unit rumah supaya jumlah bilangan unit ditambah dari syarat plot ratio yang asal.

Dalam Tahun 2013-2014 berlaku aduan kepada saya sebagai Ahli Majlis yang memantau di Dun N38 Bayan lepas oleh penduduk Awam dan JKKK berkaitan banjir kilat berlumpur yang telah mengakibatkan lumpur melimpah ke laluan jalan raya dan rumah di Kampung Bukit Bayan Lepas.

Kedua-dua Projek flat berkenaan yang salah satunya Projek JKP dan satu lagi adalah projek Kroni KN telah menyebabkan berlaku tarahan bukit dan terdedah kepada limpahan hujan mengakibatkan bencana tersebut berlaku. Pasukan Jabatan Kejuruteraan PBT telah turun padang bersama saya untuk meninjau 2 projek berkenaan dan kedua-duanya menjadi punca banjir lumpur.

Kedua-dua projek ini tidak mengikut garis panduan Jabatan Kejuteraan PBT (Gagal menyediakan Retention Pond yang menepati garis panduan) telah menyebabkan saya mencadangkan kepada jabatan supaya mengeluarkan Pengarahan Notis pemberhentian kerja @ STOP WORK ORDER NOTICE sehingga mereka memperbaiki masalah mengikut syarat garipanduan Jabatan Kejuruteraan PBT dalam tempoh 14 hari .

Saya dimaklumkan  projek yang mana pemajunya adalah rapat dengan Kerajaan Negeri memberi tekanan kepada jabatan supaya notis berkenaan ditarik balik dengan segera. Walaupun saya menentangnya sebab masih tidak diperbetulkan masalah Retention Pond yang tidak menepati garis panduan kelulusan jabatan. Akhirnya Setiausaha PBT terpaksa akur dengan tekanan Kerajaan Negeri untuk menaribalik notis berkenaan sedangkan projek JKP yang dibawah kerajaan pusat kekal dengan penguatkuasaan notis berkenaan.

Di sinilah didapati Penguatkuasaan garis panduan jabatan kejuruteraan dan perancangan PBT tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna dan telus. Malah saya dimaklumkan kini 2016 keadaan peguatkuasaan garis panduan seumpama pemberian notis berhenti kerja terpaksa dibuat sebagai syarat semata-mata memenuhi keperluan jabatan dan pada esoknya digesa ditarik balik sedangkan masalah yang timbul masih tidak menepati syarat kelulusan hasil tekanan dari pihak Pemaju dan Kerajaan Negeri.

Kuasa Penguatkuasaan bertambah tercabar apabila JKKK mengadu projek yang mempunyai hubungan dapat dengan Kerajaan Negeri ini dengan besar kepalanya melanjutkan kerja-kerja pembinaan sehingga 3-4 pagi melebihi syarat sehingga 10 malam sahaja sewaktu bulan Ramadan 2013. Ini menunjukkan Pemaju tidak mengendahkan  Garis panduan dan syarat-syarat kelulusan yang ditetapkan oleh PBT ketika itu sebaliknya hubungan intim dengan pihak Kerajaan Negeri membolehkan mereka mengabaikan segala penguatkuasaan oleh PBT

Keutamaan yang paling utama kepada pemaju dalam semua pembangunan projek adalah KEUNTUNGAN . Dalam memastikan keuntungan dijamin maka fokus utama oleh pemaju adalah projek perlu disiapkan mengikut jadual dan ia adalah satu Keutamaan,  manakala penyediaan saliran dan perparitan yang dapat menampung curahan melampau hujan tidak diberi fokus dan penekanan serta keutamaan oleh PBT dan Kerajaan Negeri, inilah punca yang menyebabkan sebahagian dari punca besar kepada banjir. Malah saliran yang sedia ada tidak diselenggara dengan baik dan berkala sehinggakan lambakan pasir dan tanah dibawa oleh arus air dari bukit yang ditarah menjadi mendapan mengakibatkan longkang dan saliran menjadi singkat dan tidak dalam mengakibatkan limpahan air bila hujan melampau.

Pendek kata pembangunan di Pulau Pinang ini lebih menjurus kepada keutamaan projek perlu lulus segera serta disiapkan segera manakala keuntungan yang di maksimakan oleh pemaju kemudiannya dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan PBT dan Kerajaan Negeri melalui fee caj pembangunan kelulusan projek yang bernilai jutaan ringgit dengan mengadaikan faktor alam sekitar khususnya tarahan bukit dan tambakan laut.

Yang mendapat musibah akhirnya adalah rakyat terpaksa berdepan dengan bencana banjir lumpur kesan dari kegelojohan pemaju dan kerajaan kapitalis P.Pinang. – HARAKAHDAILY 30/11/2016

Penulis ialah Pengerusi Sektor Peneroka Bandar Lajnah Tanah PAS Pusat merangkap Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri P.Pinang

Share on Myspace