Kedatangan pihak luar tukar suasana damai Orang Asal

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Pemimpin masyarakat Orang Asal di sini mendakwa tanpa penglibatan pihak luar tidak mungkin berlaku insiden menyekat laluan balak sehingga menyusahkan pelbagai pihak.

Penghulu Kuala Betis, Jumak Abah berkata perkampungan Orang Asal di pedalaman Kelantan aman damai sebelum ini tanpa ada sebarang gangguan.

Namun, katanya sejak kedatangan pihak luar ke beberapa penempatan Orang Asal pada 2010 suasana aman damai mulai bertukar.

“Pernah pada 2012 berlaku sekatan laluan balak di Kampung Lambung yang juga berakhir dengan tangkapan polis.

“Sebelum itu pihak luar juga mendalangi sekatan laluan balak, namun mereka berpindah ke tempat lain selepas dilarang pemimpin Orang Asal di situ,” katanya di sini.

Semalam Jabatan Perhutanan Negeri dan kerjasama polis menahan 47 penduduk Orang Asal yang terbabit dengan sekatan laluan lori balak di Simpang Petei dan Pos Bihai.

Ketika operasi menahan kumpulan blockade tersebut pihak keselamatan turut menemui sumpit dan parang di pondok tempat sekatan.

Penduduk Orang Asal terbabit pagi tadi dibawa ke mahkamah majistret Gua Musang bagi mendapat perintah tahanan reman.

Ada dalam kalangan yang ditahan memiliki kad pengenalan luar Kelantan termasuk dari Perak.

Di perkarangan mahkamah tadi juga aktivis Parti Amanah Negara (PAN) dan PSM dilapor menasihat penduduk Orang Asal supaya tidak berputus asa dengan perjuangan mereka.

Jumak juga berkata kalangan yang ditahan tersebut ada yang dilahirkan Perak dan negeri lain kerana bapa mereka menganggotai Senoi Praap.

“Selepas bapa mereka meninggal dunia ada yang pulang semula ke Gua Musang,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan berlaku kemusnahan besar di Hutan Simpan Kekal Balah sehingga menjejas penduduk mencari rezeki.

Menurutnya kumpulan yang melakukan blockade sengaja mencipta isu bagi menghalalkan tindakan mereka setelah dipengaruhi pihak luar. - HARAKAHDAILY 30/11/2016

Share on Myspace