Kenyataan Presiden Umno itu satu muslihat

DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI | .

KENYATAAN Presiden Umno, Datuk Seri Najib bahawa hubungan tegang antara Umno dan PAS kian mengendur adalah bersifat muslihat politik untuk cuba memerangkap PAS supaya mengikut rentak parti itu. Ia sebagai satu percubaan membina persepsi di kalangan rakyat bahawa PAS sudah lunak terhadap Umno dalam semua perkara.

Yang sebenarnya berlaku ialah PAS sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan “amar makruf nahi mungkar” dalam apa jua situasi dan dalam berhadapan dengan sesiapa juga. PAS tidak pernah berkompromi dengan BN dalam isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tekanan terhadap rakyat dalam pelbagai kenaikan oleh kerajaan, kegawatan ekonomi angkara BN, isu 1MDB, kerugian Felda, penyalahgunaan SOSMA dan pelbagai isu dalam negara mutakhir ini.

Keterbukaan PAS menerusi pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) tidak menjadikan PAS larut serta terjebak dengan politik berasaskan ideologi nasionalis, sosialis mahupun sekularis. PAS teguh meletakkan syariat Islam sebagai landasan halatuju politik negara dalam memperjuangkan kesamarataan hak, pengurusan ekonomi yang adil, pemuliharaan alam sekitar serta hubungan antara kaum.

Jika Umno/BN sebagai parti yang memerintah mengumumkan bahawa mereka sudah memalu gendang untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-14 dengan meletakkan sasaran menang 134 kerusi Parlimen maka PAS sebagai pembangkang juga lebih awal meletakkan sasaran untuk menumbangkan BN yang sudah terlalu lama berkuasa sehingga menyusahkan rakyat. Di Kedah, PAS bertekad untuk kembali mengambilalih pentadbiran Wisma Darul Aman.

Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung kini mungkin menjadi persidangan terakhir mereka sebagai kerajaan di Pusat jika PRU14 diadakan dalam masa terdekat. Sebenarnya, itulah doa dan harapan sebahagian besar rakyat Malaysia kini.

DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace