Pemimpin PH boleh tanya kami – PKR Gua Musang

ASLANI M | .

GUA MUSANG: Isunya sekarang bukan lagi masalah kehidupan masyarakat Orang Asal, sebaliknya tekanan politik terhadap kerajaan Kelantan di bawah kepemimpinan ulama.

Lebih mengecewakan lagi ada pihak tanpa mendapat maklumat daripada kerajaan negeri dan pemimpin di sini, terus membuat tuduhan tidak berasas kepada Kelantan.

Penyelia Dun Nenggiri Syed Azhar Syed Alwi berkata pihak di luar tidak tahu keadaan sebenar apa berlaku di Gua Musang sehingga mudah terpengaruh dengan pihak yang berkepentingan.

Katanya, mereka tidak tahu di belakang tabir isu sekatan, ada orang politik yang mahu mengambil kesempatan dan bukan sebenarnya masalah kemusnahan hutan.

“Sepatutnya pemimpin Pakatan Harapan mendapat maklumat daripada kami di sini atau kerajaan negeri dan bukannya membuat tuduhan melulu.

“Ada pemimpin PAN Kelantan juga menghentam saya. Saya sudah menghubungi Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Abdul Aziz Abdul Kadir bagi menjelaskan keadaan sebenar.

“Ada pihak secara terang-terangan mempengaruhi Orang Asal sehingga membuat sekatan. Sehingga sekarang kerajaan negeri tidak pernah mengambil hak masyarakat Orang Asal,” katanya di sini.

Semalam pemimpin Pakatan Harapan (PH) melalui kenyataan media bersama menzahirkan rasa terkejut terhadap penangkapan 47 Orang Asal yang terbabit sekatan di Pos Petei dan Pos Bihai di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah.

Kenyataan itu dilapor ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu

Mereka juga berharap kerajaan Kelantan bertindak adil, tegas dan ikhlas serta membebaskan mereka yang ditangkap.

Syed Azhar yang juga pemimpin PKR Gua Musang berkata, kawasan pembalakan yang dilulus Jabatan Perhutanan di HSK Balah terletak jauh daripada penempatan penduduk Orang Asal.

“Jadi dakwaan yang mengatakan berlaku kemusnahan kawasan Orang Asli mencari makan tidak berasas kerana kedudukannya masih jauh,” katanya.

Penghulu Dun Nenggiri Jumak Abah yang juga bekas pekerja pembalakan berkata, kawasan tebangan balak dilulus Jabatan Perhutanan di HSK Balah terletak lebih 40 km daripada penempatan Orang Asal.

Menurutnya juga apa yang diperjuangkan segelintir masyarakat Orang Asal yang terpengaruh dengan pihak luar mengenai tanah adat sehingga mereka dibantu membuat peta wilayah sendiri.

Katanya ada pihak luar yang mengajar membuat lakaran wilayah berdasar Peta Google (GPS) bagi memperjuangkan tanah adat.

Beliau juga mendakwa kumpulan Orang Asal dari Perak sekarang dikatakan berkubu di Pos Pasik tempat sekatan ketiga yang belum diroboh Jabatan Perhutanan. – HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace