Muslimat PAS cakna derita mangsa bencana di Serendah

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh  mengadakan kunjungan ke Pusat Penempatan Bencana di Sekolah Rendah Agama (SRA) Serendah, ekoran kejadian tanah runtuh.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan, Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPM, Ustazah Salamiah Mohd Nor bersama-sama beberapa orang AJK DMPM dan AJK DMPK Hulu Selangor.

Dalam siri ziarah itu, kelmarin rombongan Dewan Muslimat PAS Malaysia dibenarkan untuk melihat kesan tanah runtuh yang sedang dibaikpulih oleh pihak yang bertanggungjawab.

Selain itu, mereka sempat beramah-mesra bersama petugas-petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat, Syabas, Jabatan Bomba dan Polis yang setia menghuni tempat kejadian bagi menjaga 27 buah keluarga yang menetap di situ.           

Ketua Muslimat PAS Malaysia juga mengucapkan terima kasih kepada para petugas atas pengorbanan masa yang diberikan untuk membantu mangsa bencana tersebut.

Selain itu, Dewan Muslimat PAS Hulu Selangor akan mengambil tindakan selanjutnya bagi memberikan bantuan yang sewajarnya kepada mangsa, sama ada dalam bentuk pengisian fizikal dan rohani.
       
“Kita akan cuba adakan kuliah dan siri pengajian di sini untuk muslimat dan anak-anak yang tinggal kerana kebanyakan yang tinggal di sini adalah Melayu Islam,” kata salah seorang AJK dalam pertemuan itu.

Share on Myspace