Kias mohon kolej universiti sejak 2009

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Permohonan bagi menaik taraf Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) kepada kolej universiti dibuat sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kias sudah mematuhi syarat disyaratkan pihak terbabit.

Katanya berdasar kepada syarat ditetapkan kementerian sepatutnya dinaik taraf sebagai kolej universiti pada 2010.

“Tetapi syarat baharu ditambah pula sehingga Kias terpaksa menaikkan lagi tahap seperti yang dikehendaki mereka.

“Kerajaan negeri dan Kias tidak akan berhenti membuat permohonan biar pun sering kali ditolak.

“Usaha-usaha peningkatan dalam pelbagai aspek sering dibuat bagi membolehkan Kias mencapai tahap yang dikehendaki,” katanya di sini.

Kias merupakan kesinambungan Pusat Pengajian Tinggi Islam (PPTIK) Nilam Puri yang ditubuhkan pada 1965. Kemudian dikenali Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK).

Bagaimanapun selepas BN mentadbir Kelantan mulai 1978, akhirnya pada 1 April 1981 YPTIK diambil alih Universiti Malaya dan ditukar nama kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Dan selepas PAS kembali mentadbir Kelantan pada 1990, kerajaan negeri menubuhkan Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah pada 1994 bagi mengembalikan kegemilangan YPTIK.

Kias pada peringkat awal menawarkan pengajian Diploma Al-syariah, Diploma Usuluddin dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah.

Bagaimanapun mulai sesi 2002/2003 diperkenalkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Al-Syariah dan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (3+1) dengan Universiti al-Azhar, Mesir. – HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace