E-Paper Harakah kemudahan generasi muda

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

Langganan E-Paper Harakah menerusi atas talian mampu memenuhi keperluan generasi muda. Ini kerana kebanyakan generasi muda menggemari segala maklumat yang boleh diperolehi melalui telefon dan gajet. Usaha pengurusan Harakah menyediakan perkhidmatan itu akan menarik lebih ramai lagi pembaca Harakah dalam kalangan orang muda.

Melihat kepada lanskap perkembangan media yang bergerak laju tanpa sempadan ini, kewujudan sumber bacaan yang sahih tanpa merosakkan budaya dan bangsa perlu ada sekaligus menjernihkan kekeruhan paradigma masyarakat.

Masyarakat kini dihidangkan dengan pelbagai sumber maklumat yang sukar dikenal pasti kebenarannya maka Harakah sebagai akhbar rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tampil dengan segala isu berita rakyat, pandangan pimpinan tertinggi PAS dalam menjawab sesuatu isu.

Ruangan dalam Harakah yang disusun juga memenuhi kehendak semasa dengan liputan seluruh negara selain aktiviti dan program-program di peringkat kawasan dan negeri.

Kolum Fikrah pula membincangkan satu topik fokus yang membuka minda pembaca memahami punca dan solusi setiap krisis berlaku. Walaupun penerbitannya hanya dua kali seminggu namun paparan yang disajikan dekat dengan hati rakyat untuk diselami bersama.

Generasi muda perlu menjadi Harakah sebagai satu bahan bacaan untuk mengetahui peredaran wajah politik yang tidak hanya mementingkan keperluan sendiri namun sebaliknya menyelesaikan solusi berpolitik dengan acuan Islam sebenar.

Tapisan maklumat yang semakin tipis bakal merosakkan minda anak muda sehingga akhirnya menjauhkan diri daripada Islam lebih parah beranggapan tiada kepentingan mengetahui krisis negara serta merelakan negara ditadbir tanpa landasan syariat Islam.

Kesedaran ini perlu disemai kepada anak muda dengan pembacaan berkualiti, justeru dengan kemudahan E-Paper Harakah ini menarik minat anak muda mengikuti segala informasi terkini sekaligus menambahkan pengetahuan berkaitan berpolitik dari perspektif Islam. - HARAKAHDAILY 30/11/2016

Penulis merupakan Pengerusi Lajnah ICT dan Media Baru Dewan Pemuda PAS Perak.

Share on Myspace