Pejabat Agung PAS berpindah dari Kepala Batas ke ibu kota

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PEJABAT AGUNG PAS BERPINDAH DARI KEPALA BATAS KE KUALA LUMPUR (1 DISEMBER 1956)

PADA hari ini dalam tahun 1956, Pejabat Agung PAS telah berpindah ke ibu kota, Kuala Lumpur setelah enam tahun berpusat di Seberang Perai, khususnya di Kepala Batas. Perpindahan ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran PAS dengan kedudukan yang lebih strategik di ibu kota, tetapi juga untuk membolehkan PAS menampilkan diri sebagai sebuah parti yang bertaraf nasional menjelang kemerdekaan negara. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13 Oktober 1956 telah memutuskan supaya Pejabat Agung PAS dipindahkan sepenuhnya ke Kuala Lumpur setelah ia beroperasi di Seberang Perai semenjak penubuhan PAS pada 1951 dan memindahkan urusan pentadbirannya ke Kuala Lumpur mulai September 1955.

Sejak PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan pembentukan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 24 November 1951, Pejabat Agung PAS adalah berpusat di Kepala Balas bermula di rumah Setiausaha Agung PAS, Ustaz Haji Ahmad Maliki di No. 721, Kepala Batas sebelum berpindah ke Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam pada awal 1953. Dalam bulan Oktober 1953, ekoran perletakan jawatan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, Pejabat Agung PAS berpindah lagi ke Kepala Batas, tetapi bertempat di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyyah sehingga Ogos 1954. Setelah keluar dari madrasah milik Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah ini kerana isu disiplin parti, PAS menjadi rumah kedai dekat madrasah tersebut sebagai pejabat sementaranya sebelum berpindah ke rumah Penolong Setiausaha Agung PAS, Ustaz Mohamad Hashim di No. 958, Kepala Batas pada awal 1955.

Kedudukan Pejabat Agung PAS yang tidak menentu dan keperluan PAS menindahkan pejabat agungnya ke Kuala Lumpur telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak, terutama dengan kedudukan Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias yang berkhidmat di Kelang, Selangor.  Pada 25 Ogos 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya Pejabat Agung PAS kekal di Kepala Batas, tetapi meminta Dr Haji Abbas Alias meninjau cadangan tempat untuk dijadikan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur. Pada 1 Julai 1956, PAS telah melantik Ustaz Haji Zabidi Ali sebagai Setiausaha Agung PAS dengan harapan dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran tetapi isu pejabat agung ini kekal menjadi punca masalah. Kerana itu, PAS berusaha memindahkan Pejabat Agungnya ke Kuala Lumpur.

Sebenarnya, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12-13 Ogos 1955 telah memutuskan supaya "urusan pentadbiran dipindahkan ke Kuala Lumpur" tetapi alamat Pejabat Agung PAS kekal di Kepala Batas. Ekoran itu, PAS telah memindahkan pentadbirannya ke Kuala Lumpur bermula di rumah Haji Abdullah Akin di No. 45, Institution Road, Sentul, kemudian berpindah pula ke rumah Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin di Batu 4, Segambut sehingga pertengahan 1956. Akhirnya 'pejabat transit' ini bertempat di Jalan Raja Bot, Kampung Baru. Pada 13 Oktober 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya Pejabat Agung PAS berpindah sepenuhnya ke Kuala Lumpur dan satu lawatan dibuat oleh Dr Haji Abbas Alias bersama Haji Abdullah Akin dan Ustaz Othman Abdullah pada 13 November 1956 ke rumah Haji Yunus Taib, Bendahari Agung PAS kerana rumahnya yang beralamat di No. 26, Jalan Hamzah, Kampung Baru akan dijadikan Pejabat Agung PAS. Mulai 1 Disember 1956, Pejabat Agung PAS telah berpindah ke rumah ini dan Ustaz Othman Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS yang baru. Sejak dari tarikh tersebut, walaupun beberapa kali ia berpindah, tetapi Pejabat Agung PAS kekal di Kuala Lumpur sehingga hari ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace