Hanya memusuhi Kelantan, bukan cinta alam sekitar pun

MUHAMMAD SANUSI MD NOR | .

PEMBALAKAN bukan kerja salah lagi hina.  Ada undang-undang, prosedur dan paraturan perhutanan dalam industri pembalakan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung dan Jabatan Perhutanan Sabah & Sarawak. Kegiatan yang melanggar undang-undang dan peraturan ini barulah termasuk satu kesalahan, boleh juga menjadi satu kehinaan.

Persepsi negatif kepada sektor ini sering terkait dengan aktiviri rasuah, umpamanya mengenakan kadar premium (hasil kerajaan negeri) yang rendah, tetapi  pembalak dikenakan 'wang politik' yang dibayar kepada parti atau pemimpin.

Contohnya kadar premium di Kedah sebelum PAS membentuk kerajaan (2008) hanyalah RM500 bagi kawasan sudah kerja (KSK) dan RM1,000 bagi hutan dara. Pembalak mengaut untung yang banyak dan pemimpin politik ada ruang yang luas 'berkongsi untung' daripada pembalak.

Apabila kerajaan bertukar tangan, berasaskan kajian dipasaran dan sebagai usaha menutup ruang terjadinya rasuah,  kadar premium dinaikkan kepada RM11-13 ribu bagi KSK dan RM16-19 ribu bagi hutan dara. 100% hasil daripada pembalakan masuk kepada perbendaharaan kerajaan negeri,  diguna untuk faedah rakyat.

Tidak ada lagi ruang bagi orang yang berkuasa berkongsi untung dengan pembalak. Taukey balak hilang prestij dan janama 'kaya',  yang betul-betul berusaha saja akan berjaya. Tak ada lagi taukey balak yang hanya pandai merasuah untuk manjadi usahawan. Inilah tindakan pemulihan industri ini oleh PAS di Kedah.

Selain memelihara kepentingan industri sebagai hasil pendapatan kerajaan negeri dan negara, peraturan dikuatkuasakan bagi mengawal selia kelestarian hutan dan alam sekitar selari dengan kepentingan negara dan beberapa MoU dan protokol alam sekitar antarabangsa yang ditandatangani oleh Malaysia.

Kawasan yang dilesenkan oleh Jabatan Perhutanan berpandukan peraturan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan itu untuk diusahahasil oleh pengusaha adalah pembalakan sah/ halal.  

Kawasan yang tidak dilesenkan oleh Jabatan Perhutanan tetapi diusahasilkan oleh sesiapapun adalah aktiviti pembalakan haram.

Jika ada keprihatinan awam untuk menghalang pembalakan bagi menjaga kelesterian hutan dan kehidupan orang ramai termasuk orang asal,  mereka patut melobi pindaan undang-undang supaya mengharamkan pembalakan sama sekali. Jangan ada mana-mana negeri dan pengusaha yang diizinkan mengusahakan pembalakan.

Jika keprihatinan itu hanya ditujukan kepada satu negeri sahaja iaitu Kelantan, tetapi tidak prihatin pula kepada negeri lain yang turut meluluskan pembalakan, seperti Sarawak, Sabah atau Pahang, yang jauh lebih besar dan banyak pengeluarannya, keprihatinan itu tentu mempunyai muslihat. Muslihat yang boleh disyaki dalam kategori jahat!

Jika kerajaan negeri dihalang daripada mengusahakan hutan sebagai sumber hasil, bolehkah dicadangkan sumber hasil lain kepada kerajaan negeri dan 127,757 orang pekerja yang terbabit dalam industri itu?

Setakat hari ini, ada dua cadangan daripada pencinta alam sekitar (dan orang asal) yang menentang aktiviti pembalakan  iaitu:
1. Tukar kerajaan lain.
2. Pandai-pandai lah cari duit, dah nak jadi kerajaan sangat, takkan tak reti cari sumber lain.

Musuh sebenar dalam industri ini ialah pelaku rasuah, penyelewengan dan pelanggar undang-undang, tidak kira siapapun orangnya.

Bagi orang awam, selain daripada musuh kategori itu, di depan kita ialah persepsi buruk yang salah lagi mengelirukan - bersimpang siur dibina oleh pihak-pihak yang memiliki matlamat peribadi dan kumpulan mereka yang tertentu yang bersifat politik-kuasa bukan bercirikan cinta - alam sekitar atau orang asli. Inipun musuh yang merbahaya juga.

Tahukah anda bahawa seorang pemimpin PAN dari Kelantan, yang mendalangi isu di Kelantan sekarang ini, dulu pernah ke Kedah berjumpa MB untuk meminta kawasan balak, berpakat dengan taikon kilang Plywood. Selepas menerangkan tujuan kedatangannya dan orang yang dibawa bersamanya, dia dihalau balik dengan hormat untuk menjaga maruahnya dan memelihara integriti PAS sebagai pemimpin kerajaan negeri.

Hal di Kelantan itu digerakkan oleh parti politik, berpakat dengan penentang kelulusan undang-undang Islam seperti Siti Kassim yang memusuhi kerajaan negeri Kelantan, bukan pencinta alam sekitar, jauh sekali pencinta orang asal. Pokoknya asasnya ialah PERSEPSI, MEMUSUHI BUKAN MENCINTAI. – HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace