RUU 355: Fahami dan beri ruang difahamkan

ABDUL QAHAR SYAMS | .

Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Perak merafak setinggi kesyukuran kepada Allah SWT di atas ruang dan peluang bacaan awal Pindaan RUU 355 oleh YB Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Pindaan terbaru dibacakan seperti berikut:-

a. Hukuman penjara 3 tahun kepada penjara 30 tahun.

b. Denda RM5,000 kepada RM100,000.

c. 6 kali sebatan kepada 100 kali sebatan menurut tatacara sebatan Syariah.

Hukuman yang dicadangkan ini lebih bersifat mendidik daripada menghukum. Ianya selaras dengan Maqasid Syar'iyah dalam Fiqh Jinayat. Melalui pemerkasaan mahkamah syariah ini, dapat memperlihatkan bagaimana keindahan Islam mendidik masyarakat bertamadun agar tidak menjerumuskan diri dalam kancah jenayah dan kemurkaan Allah.

DPPN Perak juga mengambil ruang ini merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj yang menggesa semua pihak menghormati hak setiap kaum di negara ini dalam membuat keputusan bagaimana untuk mengamalkan agama masing-masing. Kefahaman sebegini diharap dapat difahami oleh seluruh ahli parlimen Malaysia yang berpegang pada lunas perlembagaan.

DPPN Perak turut menyatakan sokongan di atas penubuhan Sekretariat Himpunan 355 yang mewakili parti politik, NGO Islam, aktivis masyarakat dan tokoh individu dalam kerjasama strategik bagi mencetus kesedaran tinggi di kalangan umat Islam juga memahamkan rakan-rakan non muslim untuk memberi sokongan padu ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah.

Abdul Qahar Syams
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
1 Rabiul Awwal 1438 / 1 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 1/12/2016

Share on Myspace