Pembangunan pusat bebas cukai perjudi wang rakyat

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM | .

PERBELANJAAN luar biasa untuk pembangunan Pusat Bebas Cukai di Pulau Bayas hingga kini masih samar dan boleh dianggap sebagai memperjudikan wang rakyat Terengganu secara keseluruhannya. Pemerhatian perjalanan projek ini sepanjang 2014-2016 dilihat tidak memiliki strategi perniagaan yang menguntungkan untuk rakyat Terengganu berbanding pelaburan besar yang dicurahkan. Rekod catatan yang kami buat melalui bajet tahunan bermula 2014 adalah seperti berikut :-

Bajet 2014: RM110,000,000.00
Bajet 2015: RM110,000,000.00
Bajet 2016: RM92,500,000.00
Bajet 2017: RM37,000,000.00
    
Jumlah keseluruhan: RM349,500,000.00
(Kod Butiran Projek P02, 03944 : Pembangunan Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir).

Di dalam penjelasan yang dikemukakan oleh pihak Exco Kerajaan Negeri tentang kemajuan kerja untuk pembangunan Pusat Bebas Cukai ini, ia telah melalui kemajuan sebanyak 76% dan perbelanjaan hingga 2016 dimaklumkan sebanyak 69% dengan jumlah nilaian dalam Ringgit Malaysia sebanyak RM150 juta.

Ini bermaksud kos keseluruhan pembangunan Pusat Bebas Cukai ini berjumlah RM217 juta. Anggaran baki yang belum dibelanjakan sebanyak 31% adalah sebanyak RM67juta. Saya percaya, kos ini hanya melibatkan Pusat Bebas Cukai di Pulau Bayas dan tidak termasuk komponen Pengkalan Gawi.

Beberapa perkara yang perlu ditekuni, dalam usaha mendapatkan pewartaan sebagai Zon Bebas Cukai, kami difahamkan pihak kerajaan negeri terpaksa akur kepada tuntutan pihak kerajaan persekutuan untuk membangunkan infrastruktur lengkap bagi kemudahan Kastam Diraja Malaysia yang akan beroperasi di Zon Bebas Cukai. Maklumat yang disebut umum oleh rakyat, Blok Pentadbiran Kastam dan Bangunan Kuarters Kastam dibina sepenuhnya oleh pihak kerajaan negeri.

Kos perbelanjaan yang difahamkan untuk keseluruhan pembangunan Pusat Bebas Cukai dan komponen lainnya dijangka mencecah RM600 juta. Apakah perbelanjaan sebesar ini akan memberikan pulangan lumayan buat rakyat Terengganu?

Perancangan pembangunan terkini juga telah melibatkan sokongan kontraktor yang dianggap ‘penyelamat’ iaitu Kumpulan Liziz Sdn.Bhd. Apakah faktor yang mendorong Kumpulan Liziz ini begitu mendapat tempat buat kerajaan negeri Terengganu?

Apakah kontraktor-kontraktor yang dilantik tidak memiliki keupayaan untuk menyempurnakan kerja-kerja yang telah diambil mereka. Atau kos sebenar tidak memungkinkan keupayaan pihak kontraktor menyiapkan kerja-kerja mereka? Jika melibatkan peningkatan kos, agak menarik apabila pihak Kumpulan Liziz sanggup menyelamatkan projek ini tanpa sebarang kenaikan kos.

Kebanyakan pakej pembangunan difahamkan mengalami kelewatan dari jadual asal.  Kelewatan menyiapkan projek ini juga difahamkan kerana faktor pasang surut air dan pengangkutan yang terhad bagi mendapatkan tongkang. Perjalanan menuju ke Pulau Bayas juga memakan masa yang agak jauh. Apakah semua faktor yang dialami oleh kontraktor ini mampu dilalui oleh kontraktor penyelamat tanpa sebarang kos tambahan?

Dalam menjelaskan jangkaan beroperasi, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri pada waktu itu, Datuk Mohd Jidin Shafee menjelaskan pada 8 September 2015, Pusat Bebas Cukai akan beroperasi pada Januari 2016. Laporan Astro Awani pula, Pusat Bebas Cukai akan beroperasi pada November 2016 seperti laporan yang dimuatkan di dalam pautan ini https://www.youtube.com/watch?v=tEo9bOZUP0Q.

Pengamatan kami terhadap kemajuan projek berdasarkan lawatan di kawasan sekitar Pusat Bebas Cukai ini, kami jangkakan paling tidak dalam tempoh enam hingga lapan bulan lagi projek ini masih belum dapat disiapkan sepenuhnya. Justeru, Tahun Melawat Terengganu 2017 dijangka berlalu tanpa kewujudan Pusat Bebas Cukai di Tasik Kenyir. Tidak sepertimana yang didakwa oleh YAB Menteri Besar Terengganu.

Perbelanjaan besar ini perlu melalui pertimbangan strategi bisnes yang tepat.  Kami tidak melihat ia sebagai strategi bisnes yang mantap untuk jangka masa panjang. Keputusan pihak kerajaan Umno/Barisan Nasional negeri Terengganu secara konsensus untuk membina Pusat Bebas Cukai ini perlu dipertanggungjawabkan kepada semua pemimpin politik yang memimpin negeri Terengganu.

Kerajaan Negeri Terengganu dilihat akan terperangkap dalam pembangunan ini. Siri pembangunan ‘gajah putih’ dijangka akan berulang di Terengganu ekoran kedudukan Pusat Bebas Cukai yang terpencil untuk dikunjungi orang ramai. Rakyat bakal menyaksikan semua ini hangus dengan ratusan juta wang mereka dileburkan oleh pihak kerajaan Umno/Barisan Nasional.

HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT)
Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh – HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace