Khutbah: Simpati kepada umat Islam Rohingya

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengajak sidang Jumaat untuk sama-sama menzahirkan rasa simpati di atas kekejaman yang berlaku kepada masyarakat Islam Rohingya.

"Berikutan siri kekejaman tentera dan segelintir masyarakat Myanmar ke atas umat Islam Rohingya, mimbar ingin mengambil kesempatan ini mengajak sidang Jumaat sekalian untuk sama-sama menzahirkan rasa simpati di atas kekejaman yang berlaku kepada masyarakat Islam Rohingya sehingga ramai yang terkorban dan diseksa.

"Kita memohon dan menuntut agar kekejaman itu harus dihentikan dengan segera kerana ia jelas telah melanggar batas kemanusiaan," kandungan teks khutbah itu dipetik.
    
Menurut khutbah itu lagi, bagi membuktikan penentangan rakyat Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu, maka satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada 4 Disember 2016 ini sebagai tanda solidariti umat Islam di negara ini di atas kekejaman tersebut.

"Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan doa umat Islam di seluruh dunia agar etnik Rohingya diselamatkan daripada terus-terusan dibunuh, dirogol, dibakar hidup-hidup dan seribu satu macam kekejaman lagi," ujarnya.

Himpunan Solidariti Ummah Bersama Umat Islam Rohingya itu akan diadakan di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, Ahad ini bermula jam 8.00 hingga 11.00 pagi. - HARAKAHDAILY 2/12/2016

Share on Myspace