Bersederhana dalam memperjuangkan alam sekitar

MOHD ZUHDI MARSUKI | .

KELMARIN 10-15 orang ahli PSM berdemonstrasi depan pejabat PAS. Saya keluar mendengar mereka berucap. Setelah selesai berucap saya jumpa ketua mereka, bertanya, apa yang mereka nak bantah kepada PAS. Kalau ada memorandum, boleh serah kepada saya untuk saya bawa kepada kepimpinan parti.

Jika bantahan yang dikemukakan tentang Kelantan betul, kami akan meminta Kerajaan Kelantan untuk perbetulkan. Tiada kompromi terhadap kemungkaran dan kezaliman kepada mana-mana pihak dan alam sekitar. Pemuda PSM tu kata kami belum menyiapkan memorandum lagi.

Kajian PhD saya dulu, dalam bidang pengurusan ekosistem hutan menurut perspektif Islam. Jadi isu pembalakan ini begitu dekat di hati saya. Bagaimanapun kita mengambil jalan pertengahan tidak ekstrem, bukan sebagaimana pejuang alam sekitar yang ekstrim dan radikal.

Golongan ekstrem dan radikal bertindak tidak rasional. Sedekad lalu Universiti Oxford mahu membina sebuah bangunan baru untuk makmal haiwan. Usaha ini ditentang oleh golongan Animal Right yang radikal. Mereka buat blockade menghalang kontraktor bina bangunan masuk dan bakar jentera mereka.

Golongan radikal Animal Right mendakwa, tidak boleh mengeksploitasi haiwan untuk tujuan penyelidikan. Bagi pihak universiti pula bertegas, tujuan penyelidikan ini untuk kebaikan manusia di samping untuk survival spesies haiwan juga. Mereka yang radikal tetap tidak berpuas hati meneruskan usaha sabotaj mereka.

Kemudian muncul seorang remaja tempatan yang matang mengumpulkan pula orang ramai untuk menentang perbuatan radikal golongan Animal Right ini. Konflik semakin tegang sehingga kadang-kadang berlaku pertembungan fizikal antara keduanya, di samping siri-siri perdebatan yang berlarutan.

Akhir sekali, seorang Professor warga Australia kembali untuk berkhidmat di Universiti Oxford. Beliau ialah Peter Singer, pengasas kepada aliran pemikiran Animal Right. Beliau kemudian dijemput memberi pandangan. Katanya, falsafah Animal Right yang dia asaskan bukan sampai menentang makmal seperti itu.

Kesimpulannya, kita sememamgnya menyokong usaha memulihara alam sekitar, tetapi tidak sampai menjadi radikal sehingga menolak langsung sebarang pembangunan untuk manusia demi survival mereka juga. Bersederhana antara kedua titik eksterem itu yang paling baik, jangan mudah dihasut menjadi radikal. – HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace