PAS sokong usul Dato' Onn untuk Melayu

MOHD FADLI GHANI | .

PAS SOKONG USUL DATO' ONN UNTUK MELAYU DIJADIKAN RUPA BANGSA RAKYAT TANAH MELAYU

PADA hari ini dalam tahun 1960, PAS telah menyokong usul yang dikemukakan oleh tokoh pembangkang, Dato' Onn Jaafar (Parti Negara - Kuala Terengganu) di Dewan Rakyat yang mencadangkan supaya Melayu dijadikan rupanya bangsa rakyat negara ini. Usul yang mencadangkan "bahawa rupa bangsa Persekutuan Tanah Melayu hendaklah dikenali sebagai Melayu" ini dikemukakan kali yang kedua oleh Dato' Onn Jaafar setelah melihat konsep hak-hak istimewa orang Melayu sebagai menjerat masa depan bangsa Melayu dan rupa bangsa rakyat negara ini sebagai sebuah negara milik orang Melayu tidak terjamin pada masa hadapan. PAS sejak proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan pada 1956 telah menolak konsep hak-hak istimewa orang Melayu yang dicadangkan oleh Perikatan (Umno-MCA-MIC), kerana PAS memperjuangkan konsep ketuanan Melayu.

Dato' Onn Jaafar yang pertama kali mengangkat usul ini ke Dewan Rakyat pada 24 Februari 1960 tetapi ditolak, telah mengemukakannya untuk kali yang kedua dengan mendapat sokongan daripada PAS. Parti Negara yang hanya mempunyai satu kerusi di Dewan Rakyat telah menyuarakan isu ini sebagai lanjutan kepada isu yang diangkat oleh parti-parti pembangkang dalam Kongres Kebangsaan Melayu Kedua di Kuala Lumpur pada 4-7 Mei 1957. Sebelum itu, PAS dalam memorandumnya kepada Suruhanjaya Bebas Reid telah mempertegaskan bahawa negara ini adalah dimiliki oleh bangsa Melayu, di mana bangsa Melayu mempunyai hak kedaulatan mutlak di dalamnya, kebangsaan negara ini mestilah kebangsaan Melayu, kebudayaan negara ini mestilah kebudayaan Melayu dan Islam menjadi agama rasminya. Bahkan, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kelima pada 23-25 Disember 1956 telah mempertegaskan bahawa bangsa Melayu mempunyai hak mutlak ke atas negara ini.

Tuntutan PAS tentang kedudukan orang Melayu adalah selari dengan pendapat Dato' Onn Jaafar sejak tokoh tersebut meninggalkan Umno pada 25 Ogos 1951 dan terlibat dalam National Conference pada 1953 dan Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 1957 bersama PAS. Dalam pada itu, Umno yang terikut-ikut dengan rentak politik MCA telah menolak perjuangan menegakkan ketuanan Melayu dengan memberikan hak kerakyatan secara mudah kepada orang bukan Melayu menerusi konsep jus soli, iaitu konsep kerakyatan berdasarkan tempat lahir. Umno juga mencadangkan orang Melayu diberikan hak-hak istimewa yang menjadikan orang Melayu hilang ketuanannya di tanah air sendiri, diikuti oleh cadangan Umno supaya Islam hanya dijadikan agama bagi Persekutuan dalam kerangka sekular.

Menyedari kekaburan masa depan orang Melayu ini, pada 2 Disember 1960, Dato' Onn Jaafar telah sekali lagi mengemukakan usul untuk Melayu dijadikan rupa bangsa bagi rakyat Tanah Melayu. Para pemimpin PAS di Dewan Rakyat telah membahaskan usul ini dengan menyokongnya bagi menjamin kedudukan bangsa Melayu pada masa hadapan. Antara pemimpin PAS yang berucap menyokong usul ini ialah Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut), Ustaz Othman Abdullah (Tanah Merah) dan Ibu Khadijah Sidek (Dungun), sedangkan para pemimpin Perikatan iaitu Dato' Abdul Razak Hussein, Mohd Yusof Mahmud, Abdul Hamid Khan Sakhawat Ali Khan, Mohamad Akhir Johari dan Kang Kock Seng telah berucap menentang usul ini. Usul ini kemudiannya telah ditewaskan dengan undian, tetapi wakil rakyat PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah (Bachok) telah mengangkatnya semula di Dewan Rakyat pada 26 Ogos 1967 walaupun tetap gagal mendapat sokongan.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
2 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 2/11/2016

Share on Myspace