PAS bincang sikap, tindakan cadang tubuh Malaysia

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PAS BINCANG SIKAP DAN TINDAKAN TERHADAP CADANGAN PENUBUHAN MALAYSIA (3 DISEMBER 1961)

PADA hari ini dalam tahun 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengadakan mesyuarat panjang selama tiga hari berakhir 5 Disember 1961 bagi membincangkan sikap dan tindakan PAS terhadap cadangan penubuhan Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra pada 27 Mei 1961. Mesyuarat ini sangat penting dalam menentukan langkah dan tindakan PAS bagi menghadapi usaha Kerajaan Perikatan yang dilihat oleh PAS sebagai akan menghancurkan masa depan orang Melayu. Terdahulu, pada 15 Oktober 1961, PAS telah mengambil sikap untuk menolak percantuman Tanah Melayu dengan Singapura, sebaliknya mencadangkan penubuhan Melayu Raya.

Tunku Abdul Rahman Putra pada 27 Mei 1961 telah mencadangkan penubuhan Melayu Raya (Malaysia) yang menggabungkan wilayah-wilayah British iaitu Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak. Cadangan yang dibuat di Singapura ini bertujuan untuk mempercepatkan proses kemerdekaan wilayah-wilayah tersebut, selain untuk membendung pengaruh komunis, mengukuhkan ekonomi dan mewujudkan keseimbangan kaum di semua wilayah itu. Cadangan ini kemudiannya mendapat respon positif daripada Kerajaan British sehingga ditubuhkan Suruhanjaya Cobbold untuk meninjau sikap rakyat di Singapura dan Borneo dan akhirnya cadangan penubuhan Malaysia ini dibawa ke Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri pada 16 Oktober 1961.

PAS sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam telah mengambil sikap dalam Mesyuarat Agung Khasnya pada 15 Oktober 1961 untuk mencadangkan penubuhan Melayu Raya yang lebih besar. PAS mahu sebuah Melayu Raya yang mencantumkan wilayah-wilayah British dengan Indonesia, Filipina dan Kepulauan Melayu yang lain bagi membolehkan orang Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam mempunyai kedudukan yang sama taraf dengan bangsa lain di dunia. Ekoran itu, dalam sidang Dewan Rakyat pada 16 Oktober 1961, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mencadangkan pindaan terhadap usul Perdana Menteri untuk memasukkan "Negara Republik Indonesia dan Filipina serta gugusan Pulau-pulau Melayu yang lain" sebagai sebahagian daripada Malaysia selain wilayah-wilayah British, tetapi cadangan pindaan ini ditolak.

Pada 3-5 Disember 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah berkampung untuk satu mesyuarat panjang bagi membincangkan kedudukan Malaysia yang dicadangkan oleh Kerajaan Perikatan, selain membincangkan persiapan menghadapi Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-10 yang akan berlangsung pada 5-6 Januari 1962. Antara keputusan penting yang dicapai oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah satu Usul Persendirian akan dikemukakan oleh Yang Dipertua Agung PAS dalam Dewan Rakyat pada 1 Mei 1962 untuk menetapkan bahawa "hendaklah dimasukkan di dalam rancangan Melayu Raya itu daerah-daerah Indonesia dan Filipina." Oleh kerana usul ini telah ditolak oleh Dewan Rakyat, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah menganggap Malaysia sebagai "membahayakan kedudukan bangsa Melayu" dan " (bangsa Melayu) akan tenggelam di dalam tanah airnya sendiri." PAS pula pada 14 Julai 1963 telah memutuskan untuk menentang penubuhan Malaysia, walaupun akhirnya Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 3/12/2016

Share on Myspace