Erdogan tegaskan lindungi Baitulmaqdis satu kewajipan

Terjemahan & Olahan: Siti Solehah Razali | .

Presiden Turki menggesa seluruh umat Islam mempertahankan rakyat Palestin dan mengatakan bahawa melindungi Baitulmaqdis merupakan tanggungjawab bersama bagi setiap orang Islam.

Ketika berucap di Istanbul dalam sebuah persidangan parlimen berkenaan Baitulmaqdis, Erdogan turut mengingatkan bahawa tugas melindungi Masjid Al-Aqsa tidak patut dilepaskan kepada kanak-kanak yang hanya bersenjatakan batu.

Beliau juga mengutuk cadangan rang undang-undang Israel pada Selasa lalu yang “mengehadkan bunyi” di tempat-tempat ibadah di Baitulmaqdis kerana dilihat sebagai sebuah perancangan untuk menghentikan azan bagi orang Islam.

Erdogan menyifatkan rang undang-undang tersebut sebagai tidak rasional sambil menekankan ia adalah sebahagian “dasar penindasan dan diskriminasi terhadap saudara Palestin kita”.

Bulan lepas, UNESCO meluluskan sebuah resolusi yang mengutuk Israel kerana menghalang orang Islam masuk ke Masjidil Aqsa.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan merampasnya pada 1980, sebuah pergerakan yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Erdogan turut menekankan keperluan penyelesaian kedua-dua negara membabitkan Israel dan Palestin.

“Satu-satunya cara untuk mengekalkan keamanan di Timur Tengah ialah mewujudkan negara Palestin yang merdeka dan ibu negara berpusat di Baitulmaqdis Timur,” katanya.

Tambahnya, adalah mustahil untuk mengekalkan keamanan tanpa membaluti luka di Timur Tengah.

Komen presiden tersebut dilihat tidak selari dengan dasar kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Israel dan Turki baru sahaja meningkatkan semula hubungan kedua-dua negara selepas enam tahun yang terjejas akibat pembunuhan aktivis Turki oleh tentera Israel ketika menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. (ulamasedunia.org)

Share on Myspace