Umno Terengganu tak jawab masalah rakyat

USTAZ MOHD NOR HAMZAH | .

Setelah lebih seminggu berlalu sidang Dun Terengganu bagi membahaskan berkenaan Bajet 2017, pasukan Umno Terengganu menerusi ketuanya YAB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman jelas dilihat tidak bersemangat atau tidak mahu ataupun tidak tahu untuk menyelesaikan masalah rakyat Terengganu dengan bersungguh-sungguh. PAS Terengganu merasa amat kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh wakil-wakil Umno yang dari dahulu menunjukkan sikap yang sama, iaitu sambil lewa atau langsung tidak menjawab persoalan yang wakil pembangkang lontarkan bagi kesejahteraan rakyat. Termasuk juga sikap menolak soalan-soalan pembangkang.

Suka PAS nyatakan di sini bahawa antara isu-isu yang masih menjadi misteri ialah seperti isu royalti petroleum yang diketengahkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu YB Ustaz Satiful Bahri Mamat, sehingga kini Umno berdolak dalih bagi menyelamatkan diri daripada diketahui oleh rakyat yang mereka telahpun secara rasmi seperti yang dinyatakan oleh Petronas, tidak lagi berhak keatas semua telaga minyak dan gas yang berada di luar tiga batu nautika kiraan ketika air surut setelah kerajaan pusat meminda Akta Laut 750, sedangkan Sarawak menikmati pulangan yang jauh lebih lumayan daripada royalti itu.

Isu tentang kenapakah RM30 juta yang diperuntukkan kepada Dun-Dun yang dimenangi Umno sahaja? Adakah tidak layak rakyat di Dun-Dun yang dimenangi pembangkang turut menerimanya?

Juga isu perbelanjaan Projek Bebas Cukai Kenyir yang sehingga kini difahamkan telah menelan belanja sehingga RM800 juta lebih dengan ada beberapa infrastruktur yang sepatutnya dibiayai oleh kerajaan pusat, tetapi Terengganu yang tanggung.

Taman Ilmu yang sehingga kini masih belum boleh digunakan dengan belanja kira-kira RM400 juta, turut tidak menarik minta Umno bagi menjawab persoalan itu.

Jerteh Souq, yang didakwa tidak diluluskan dalam mesyuarat Exco itu, tiada langsung kelihatan walau sebatang tiang ‘piling’ di tapak yang dicadangkan bernilai lebih RM70 juta. Malah stesen bas ekspres yang dibina di situ juga (menggunakan bajet lain), masih belum boleh diguna bernilai kira-kira RM5 juta.

Perihal cukai hasil galian bumi Terengganu seperti besi, emas dan sebagainya yang hanya berjumlah RM800,000 lebih selama tujuh tahun, seperti yang disoal oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Terengganu, YB Dr Alias Razak, soalan itu bagaikan hilang bersama angin yang lalu, tanpa jawapan.

Ketidakseimbangan bajet yang sangat jelas dibangkitkan oleh YB Dr Alias iaitu bagi pembangunan ekonomi diperuntukkan hanya RM77 juta sahaja berbanding dengan peruntukan yang melibatkan bayaran ‘one off’ pula menghampiri RM700 juta. Tetapi tidak dijelaskan kenapa.

Pemberian kepada seluruh J3K sebanyak RM5 juta juga menjadi tandatanya kerana tidak dilayan.

Soalan berkenaan hutang kerajaan negeri oleh YB Tepoh, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim ditolak. Apa yang ditakutkan untuk memaklumkan hutang negeri? Sehingga tahun 2015, hutang negeri telah mencapai lebih RM900 juta itu kita maklum, tetapi kita mahu tahu jumlah terkini. Dengan bajet tahunan semenjak dahulu mencapai RM2 billion setahun, kenapakah masih ada hutang yang sebegitu besar?

YB Hishamuddin juga membangkitkan berkenaan ‘differed payment’ iaitu pembayaran bertangguh, yang akan membuatkan kerajaan negeri sentiasa berhutang sehingga satu jangka waktu yang ditetapkan, juga didiamkan kerajaan.

Janji 41,000 peluang kerja yang kemudiannya didedahkan oleh YB Hishamuddin sebenarnya hanya 254 peluang sahaja, dijawab acuh tak acuh oleh MB. Kata beliau itu kiraan yang sudah tidak digunakan lagi bagi mengiranya malah menjanjikan lagi peluang kerja baru dalam bajet beliau. Sedangkan dalam jawapan bagi soalan Chukai, Umno memaklumkan 458 orang telah diberhentikan kerja. Entah-entah peluang kerja terbaharu ini termasuk dalam 41,000 yang dia sebut dahulu?

Soalan saya berkaitan IQT dan KQT juga tidak dijelaskan sepenuhnya oleh YAB MB setelah Exco Pendidikan sendiri keliru dengan status institusi itu walaupun sudah dibantu MB bagi menjawabnya.

Berkenaan asrama Kusza (kenapa masih guna nama Kusza?) yang bernilai RM88 juta yang saya tanya siapakah yang mesti membiayainya, juga tidak kedengaran jawapannya.

Paling memeningkan apabila Ir Rosli Othman, Exco Infrastruktur menjawab bahawa projek tebatan banjir yang salah satunya terletak di Bukit Payong akan dibawa ke RMK12 selepas gagal disiapkan semenjak RMK10 lagi. Tetapi dalam satu jawapan bertulis saya pula, Umno menyatakan TIADA projek di RMK10 gagal disiapkan. Yang mana satu betul?

Soalan Haji Hanafiah pula berkenaan bas amphibia (dua alam) yang dijanjikan, masih tidak muncul-muncul bernilai RM6 juta. Zoo Kemaman, Projek Kenyir masih mendapat suntikan dana oleh kerajaan sedangkan tiada pulangan dan diketahui sebagai projek membazir.

Kilang Eastern Steel sudah tidak beroperasi lagi, jadi bagaimana satus projek aliran sungai ke sana dari Jambatan Bukit Kuang? Masalah bekalan air di Kuala Terengganu dan Marang, diakui oleh Exco kerana masalah kekangan kewangan, tetapi belanja kerajaan entah ke mana-mana.

Inilah bukti bahawa Umno Terengganu adalah golongan menghabiskan duit rakyat kemudian tak mahu jawab di dalam Dun. Mereka melarikan diri dari tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. PAS sudah berjuang bagi mengambil peduli akan setiap perbelanjaan yang Umno lakukan, tetapi PAS disekat dengan mereka menggunakan peraturan Dun dan juga mendiamkan diri, tidak menjawab persoalan-persoalan rakyat yang PAS bawakan. Rakyat lihatlah sendiri sikap Umno. Marilah bersama-sama PAS, kita jatuhkan kerajaan Umno yang tidak bertanggungjawab ini. Wallahua’lam. - HARAKAHDAILY 5/12/2016

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu yang juga Adun Bukit Payong.

Share on Myspace