UTC Kelantan dapat sambutan ramai

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan yang baharu beroperasi tiga bulan lepas mendapat sambutan menggalakkan.

Difahamkan Jabatan Imigresen berjaya memungut hasil berjumlah RM3 juta bagi tempoh tiga bulan sejak beroperasi di UTC.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail berkata sejak beroperasi pegawai dan kakitangan UTC dari negeri-negeri lain sering melawat UTC Kelantan.

Katanya UTC Kelantan diubahsuai melibatkan kos RM36.17 juta, antara yang tercantik di negara ini.

“Peruntukan tersebut disumbang Kementerian Kewangan Malaysia,” katanya pada persidangan media pengumuman pengoperasian sepenuhnya UTC di sini semalam.

Bangunan milik PKINK tersebut sebelum ini dikenali Cyber Plaza, menempatkan lot-lot kedai yang dijual kepada orang ramai.

Bagaimanapun kerajaan membayar semula lot-lot tersebut kepada pembeli untuk diwujudkan UTC. Ia terletak di kawasan strategik di belakang KB Mall, Jalan Hamzah.

Sehingga sekarang sebanyak sembilan agensi kerajaan negeri, 12 agensi kerajaan Persekutuan, enam badan berkanun negeri dan Persekutuan beroperasi di situ.

Selain itu 14 syarikat milik kerajaan termasuk Bank Islam dan Maybank.

UTC beroperasi tujuh hari seminggu bermula jam 8.30 pagi sehingga 10 malam. - HARAKAHDAILY 5/12/2016

Share on Myspace