PKS, syarikat pelancongan diramal suram tahun depan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja pengeluar kereta tempatan bakal menghadapi era kesuraman perniagaan tahun hadapan, masalah sama dijangka turut memberi kesan terhadap syarikat pelancongan dan pengilang termasuk bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Mantan Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop berkata, ia berikutan trend kejatuhan nilai ringgit yang masih berterusan bakal memberi kesan terhadap kos perniagaan masing-masing.
 
“Syarikat pelancongan yang menghantar pelancong ke luar negara terpaksa mengenakan harga lebih tinggi disebabkan kadar tukaran ringgit yang lemah dan ini memberi kesan sambutan orang ramai yang ingin melancong ke luar negara.

“Begitu juga syarikat pengeluar yang bergantung barangan import bagi menghasilkan produk mereka juga terbeban dan ini termasuk syarikat perindustrian kecil dan sederhana,” katanya dipetik SelangorKini.

Jelasnya, lebih buruk lagi keadaan ini turut mampu menyebabkan perniagaan terlibat gulung tikar sekiranya kejatuhan nilai ringgit gagal dikekang.

Katanya, keadaan ini ditambah lagi dengan prospek ekonomi tahun hadapan yang tidak begitu memberangsangkan ekoran bukan sahaja disebabkan isu kejatuhan nilai ringgit tetapi faktor pelbagai skandal yang menggugat keyakinan pelabur luar.

Bagaimanapun, tambah beliau, kejatuhan nilai ringgit sepatutnya mampu membantu meningkatkan industri pelancongan dalam negara.

Katanya lagi, ia berlaku sekiranya kesempatan itu diambil sebaik-baiknya oleh pihak bertanggungjawab dan pemain industri sendiri.

Share on Myspace