Struktur belum siap roboh, ramai mati bila terhenti?

SM MOHAMED IDRIS | .

SEMAKIN BANYAK STRUKTUR TAPAK PEMBINAAN BELUM SIAP ROBOH, SEMAKIN RAMAI PEKERJA BINAAN MATI
BILAKAH KEJADIAN SEBEGINI AKAN TERHENTI?

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) begitu terkejut mendengar tragedi jejambat pejalan kaki dalam pembinaan, yang menghubungkan KL Eco City dan Mid Valley Megamall di Bangsar, Kuala Lumpur, roboh baru-baru ini. Tidak sampai sebulan selepas sepasang suami isteri maut apabila piling rig menghempap kereta mereka di tapak pembinaan sepanjang Persiaran Astana, Klang, satu lagi tragedi yang membawa kepada kecederaan serius dan maut pula berlaku.
 
Jika semua pihak yang terbabit dalam industri pembinaan – antaranya termasuklah majlis perbandaran tempatan, pemaju, kontraktor, arkitek, juruukur bahan, jurutera struktur, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) dan semua pihak lain memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, tragedi malang itu mungkin dapat dielak.
 
Di sebalik gesaan berulangkali kepada pihak kerajaan agar menjalankan siasatan lengkap ke atas operasi DOSH, pihak berkuasa berkenaan nampaknya tidak mampu menangani perkara ini kerana mereka tidak memberi perhatian kepada gesaan yang kami buat. Perkara ini jelas ekoran berlaku satu lagi tragedi di tapak pembinaan.
 
Apabila insiden seumpamanya berlaku, jelaslah kepada kita bahawa pihak DOSH dan pemaju tidak memberi keutamaan kepada perkara  yang sepatutnya. Di sebalik berusaha untuk mencegah insiden seumpamanya daripada berulang,  mereka menunggu sehingga ia berlaku dan kemudian bergelut untuk mengambil langkah-langkah bagi memperbetulkan keadaan. Apabila berlaku kehilangan nyawa, tiada langkah pembetulan yang boleh diambil; ia bukanlah sesuatu yang  dapat dikembalikan.
 
Sungguhpun punca kejadian masih disiasat, logik akal mengatakan ia bukan berpunca daripada kemalangan tetapi lebih kepada kecuaian di pihak yang terbabit dalam projek tersebut.
 
Sementara itu akhbar The Malay Mail memetik kata-kata Profesor Datuk Dr Mahyuddin dari Universiti Sains Malaysia yang mendakwa insiden seumpamanya boleh berlaku apabila kontraktor tidak mematuhi piawaian keselamatan. Dalam kejadian ini, konkrit mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk mengering dan mengeras; namun dalam keadaan cuaca yang lembap sekarang, ia memerlukan masa yang lebih panjang. Profesor Mahyuddin menambah, satu hal lagi yang boleh menjadi punca kemalangan itu ialah jika kontraktor tidak menggunakan bahan perancah (scaffolding) yang sesuai ketika proses pembinaan. Jarak di antara perancah dan saiz perancah yang digunakan amat penting kerana ia berbeza mengikut struktur yang akan ditanggungnya.
 
Sementara itu Ketua Pengarah DOSH, Datuk Mohtar Musri berkata, siasatan awal mereka mendapati insiden itu berlaku kerana struktur berkenaan rosak. Menurutnya, mereka perlu meneliti kualiti bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaan jejambat pejalan kaki tersebut.
 
Walau apapun yang menjadi puncanya, pihak berkuasa terbabit dan orang awam perlu sedar  bahawa sejarah berulang kembali sungguhpun ia tidak sepatutnya  berlaku.
 
Jika kejadian buruk itu benar-benar berlaku disebabkan struktur yang rosak, maka ia perlu diperjelaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh mendakwa mereka tidak mengetahuinya. Pegawai-pegawai keselamatan DOSH dan pemeriksa keselamatan di tapak pembinaan sepatutnya tahu mengenai mana-mana struktur yang rosak, jika ada. Ini menimbulkan persoalan sama ada pemeriksaan keselamatan yang teliti telah dijalankan di peringkat-peringkat tertentu oleh pihak berkenaan.
 
Menurut laporan, beberapa pihak berkenaan yang ada kaitan dengan industri pembinaan meminta hasil siasatan dimaklumkan kepada mereka. Kami juga ingin meminta agar maklumat tersebut turut dikongsi bersama orang awam. Tambahan pula, CAP ingin mengetahui apa yang berlaku kepada hasil siasatan bagi kejadian-kejadian sebelumnya. Kenapakah maklumat penting itu tidak dikongsi bersama orang awam sedangkan nyawa mereka berada dalam bahaya ekoran kecuaian pihak di tapak pembinaan?
 
Sehubungan itu, CAP menggesa langkah tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam projek KL Eco City kerana mereka sepatutnya  bertanggungjawab  atas apa yang berlaku, meskipun mereka tidak terlibat secara langsung. Pemaju tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya memandangkan pihak lain akan berasa mereka boleh lepas tangan apabila insiden seumpamanya berlaku dan ini pula sebaliknya akan menyebabkan insiden yang sama terus berulang. - HARAKAHDAILY 6/12/2016
 
Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Share on Myspace