Kg Warisan: Penduduk akui sebelum ini keliru

MOHAMMAD ARIF ISMAIL | .

TUMPAT: Ekoran pendedahan Harakah dan Harakahdaily cadangan projek Kampung Warisan di Kampung Laut dekat sini, kini semakin ramai penduduk di kampung berkenaan faham mengenainya.

Penghulu Kampung Laut, Ghazali Harun berkata, penduduk terlibat projek Kampung Warisan yang sebelum ini menentang keras, berterima kasih kepada kerajaan negeri selepas mengetahui perkara sebenar.

“Selepas disiarkan Harakah mengenai perancangan projek berkenaan beberapa penduduk datang menemui saya bagi meminta penjelasan terhadap berita terbabit.

“Mereka mengakui keliru sebelum ini kerana terpengaruh pihak tertentu yang menentang pembangunan projek Kampung Warisan.

“Kata mereka maklumat disampaikan pegawai Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat berlainan ibarat langit dengan bumi berbanding maklumat diberitahu pihak berkenaan,” katanya di sini.

Pada Oktober lepas sekumpulan penduduk yang menentang projek Kampung Warisan dipercayai didalangi parti tertentu mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim.

Projek Kampung Warisan dirancang kerajaan negeri sejak Julai 2014. Ia akan dibiayai sepenuhnya Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECER) dengan kos lebih RM30 juta.

Pembangunan projek itu melibatkan tanah milik penduduk seluas 2.18 ekar dan tanah kerajaan 0.3 ekar. Tanah dimiliki penduduk membabitkan tujuh lot, 13 rumah dan sebuah kandang kambing.

Sebanyak 13 penduduk yang terbabit pengambilan semula akan disediakan lot baharu di sebelah jalan utama dengan keluasan 5,000 kaki persegi setiap lot.

Lapan keluarga yang dikenal pasti miskin yang terbabit dengan projek Kampung Warisan akan dibina rumah dhuafat.

Difahamkan kerja-kerja penambungan dan pembinaan tapak rumah penduduk yang terbabit dengan pengambilan tanah akan dijalankan tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 7/11/2016

Share on Myspace