Gempa bumi Aceh: Muslimat PAS Malaysia rakam takziah

HARAKAHDAILY | .

Pagi semalam kita dikejutkan dengan berita gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang melanda Pidie Jaya, Aceh sekitar jam 5.03 pagi waktu tempatan. Laporan terbaru insiden ini menyaksikan hampir seratus nyawa terkorban serta ramai tercedera.

Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa atas apa yang berlaku. Semoga ujian ini dilalui dengan tabah dan dijadikan pengajaran juga untuk semua.

Sesungguhnya setiap musibah yang berlaku punya hikmah dari Yang Maha Esa sebagai peringatan untuk hamba-Nya. Marilah sama-sama kita hayati setiap apa yang berlaku dengan mengambil iktibar sirah-sirah terdahulu.

Allah berfirman yang bermaksud: Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. [Al-Ankabut: 40]

Kami menyeru semua supaya mendoakan mangsa gempa bumi Aceh. Semoga segala urusan mereka dipermudahkan dan dikurniakan kesabaran.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Rabiul Awwal 1438 / 8 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 8/12/2016

Share on Myspace