PAS Selangor berjerayawara terang belanjawan negeri

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD | .

BADAN Perhubungan PAS Negeri Selangor telah memulakan jerayawara (roadshow) ke setiap kawasan Parlimen di negeri ini untuk menerangkan tentang Belanjawan Negeri Selangor bagi tahun 2017.

Tujuan jerayawara ini adalah untuk memastikan pimpinan dan ahli PAS di peringkat akar umbi memahami akan belanjawan tersebut terutamanya akan manfaat yang boleh diperoleh oleh rakyat darinya.

Jerayawara telah bermula pada 7 Oktober lepas di tiga kawasan iaitu Ampang, Selayang dan Hulu Selangor.

Majlis penerangan di Ampang telah dihadiri oleh Datuk Iskandar Abdul Samad (Exco Kerajaan Negeri Selangor / Pesuruhjaya PAS Negeri), Haji Razali Hasan (Ahli Dewan Negeri Dusun Tua) dan Dr Hajjah Halimah Ali (Ahli Dewan Negeri Selat Kelang).

Di Selayang pula, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Exco Kerajaan Negeri Selangor / Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri) dan Zaidi Talib (Exco Kerajaan Negeri Selangor / Bendahari PAS Negeri) telah menyampaikan penerangan.

Sementara di Hulu Selangor, Ir Mohd Haslin Hasan (Ahli Dewan Negeri Tg Sepat / Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri) dan Khasim Abdul Aziz (Pembantu Exco Kerajaan Negeri / Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya) telah hadir.

Belanjawan 2017 yang dibentangkan di Sidang Dewan Negeri pada 30 Oktober lepas oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperkenalkan banyak program baru untuk pembangunan dan kebajikan rakyat.

Antaranya adalah "Skim Peduli Sihat" yang menyasarkan 250,000 keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah akan mendapat rawatan kesihatan primer (primary care) percuma di klinik swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri. Seramai 1 juta rakyat Selangor akan mendapat manfaat daripada skim yang diperuntukan RM125 juta itu.

Kerajaan negeri juga akan membelanjakan RM100 juta untuk membeli Rumah Selangorku yang akan disewakan kepada rakyat yang gagal mendapat pembiayaan untuk membeli rumah atau belum lagi berminat untuk membeli rumah. Di dalam skim yang dinamakan "Smart Sewa", 30 peratus daripada sewa yang dibayar akan dipulangkan setelah kontrak sewaan tamat. Sewa yang dipulangkan boleh digunakan oleh penyewa untuk membeli rumah sendiri.

Secara keseluruhannya sebanyak RM3.45 bilion telah diperuntukan dalam belanjawan 2017 dengan peruntukan pembangunan sebanyak 52.2 peratus dan peruntukan mengurus sebanyak 47.8 peratus.

Usaha PAS Selangor ini adalah untuk memastikan tidak ada rakyat yang ketinggalan akibat maklumat-maklumat yang tidak sampai kepada mereka.

Exco dan Ahli Dewan Negeri telah dipilih untuk memberi penerangan kerana mereka terlibat secara langsung di dalam perbahasan Sidang Dewan yang melibatkan belanjawan tersebut.

Jerayawara ini dijangka berakhir pada bulan Januari tahun hadapan.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pesuruhjaya PAS
Negeri Selangor
9 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 9/12/2016

Share on Myspace