PAS Kelantan pertahan fatwa syahid Memali

MOHD FADLI GHANI | .

PADA hari ini dalam tahun 1985, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah memutuskan untuk mempertahankan pendirian Dewan Ulamak PAS Kedah dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS bahawa mangsa tragedi Memali adalah mati syahid. Sebalik sahaja tragedi pembunuhan berlaku di Kampung Memali pada 19 November 1985, Dewan Ulamak PAS Kedah yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Yahya Junid yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Kedah, telah mengeluarkan fatwa bahawa 14 orang yang terbunuh di Memali itu adalah syahid, sebelum fatwa ini dipertegaskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 8 Disember 1985.

Bagi menegaskan lagi kedudukan dan status mereka, Badan Perhubungan PAS Kelantan yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memperakukan status mangsa Memali sebagai syahid.

Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 adalah lanjutan daripada penyalahgunaan ISA ke atas pemimpin Dewan Pemuda PAS sejak penahanan tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat pada 10 Julai 1984. Ia berlanjutan hingga tercetus isu Debat PAS-Umno, kafir-mengkafir dan Tragedi Lubuk Merbau pada 18 Januari 1985.

Kerajaan Pusat yang gagal menahan Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih terkenal dengan panggilan Ustaz Ibrahim Libya iaitu Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, telah bertindak melancarkan kepungan dan serangan ke atas Kampung Memali pada awal pagi 19 November 1985, yang telah membunuh Ustaz Ibrahim Libya bersama 13 orang lagi ahli PAS dari Kampung Memali.

Ustaz Ibrahim Libya dikatakan menjadi sasaran Kerajaan BN kerana mendakwa negara ini bukan negara Islam, tetapi beliau enggan menyerah diri ketika tangkapan dibuat pada 10 Julai 1984. Dua tokoh utama yang terlibat dalam mengatur serangan ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Musa Hitam yang juga Menteri Dalam Negeri.

Peristiwa berdarah ini telah mendorong Dewan Ulamak PAS Kedah segera mengeluarkan fatwa terhadap status kematian 14 orang ahli PAS itu dengan disokong oleh kenyataan Yang Dipertua Agung PAS, Pak Haji Yusof Rawa yang menganggapnya sebagai "tindakan yang begitu kejam dan rakus."

Bertindak balas terhadap fatwa Dewan Ulamak PAS Kedah ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Kedah telah membuat fatwa bahawa mereka bukan syahid kerana menyerupai bughah, sedangkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pula mengatakan mereka adalah penderhaka yang tidak syahid, bahkan mati berdosa.

Pada 8 Disember 1985, Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang membincangkan status ini telah sependapat dengan Dewan Ulamak PAS Kedah bahawa 14 orang ahli PAS tersebut telah syahid. Selain itu, PAS turut menuntut supaya satu siasatan dibuat oleh suruhanjaya bebas tentang keganasan tersebut.

Bagi mengukuhkan pandangan PAS terhadap peristiwa hitam ini, Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 10 Disember 1985 telah memperakukan fatwa-fatwa Dewan Ulamak PAS Kedah dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS tentang syahidnya Ustaz Ibrahim Libya bersama 13 lagi pengikutnya.

Menurut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, kematian Ustaz Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya adalah mati syahid dan kesemua jenazah mereka perlu dikebumikan mengikut cara pengkebumian yang selayaknya untuk jenazah para syuhadak, kerana kematian mereka dikatakan meliputi ketiga-tiga syarat syahid iaitu mempertahankan agama, maruah dan harta benda.

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Disember 2016 -  HARAKAHDAILY 10/12/2016

Share on Myspace