Sejarah: PAS dipecat daripada Barisan Nasional

MOHD FADLI GHANI | .

HARI INI DALAM SEJARAH PAS: PAS DIPECAT DARI BARISAN NASIONAL (13 DISEMBER 1977)

PADA hari ini dalam tahun 1977, Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah memutuskan supaya PAS memecat Ahli-ahli Parlimennya yang menentang keputusan Ketua Whip BN di Dewan Rakyat pada 8 November 1977 atau PAS akan terpecat dari menjadi anggota  BN dengan sendirinya jika gagal berbuat demikian sebelum 17 Disember 1977. Keputusan asal Majlis Tertinggi BN pada 5 Disember 1977 yang mahu PAS memecat wakil rakyatnya itu telah ditolak oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 6 Disember 1977, yang mendorong Majlis Tertinggi BN memaksa PAS dengan alternatif PAS terpecat dari BN. Dengan terpecatnya PAS dari BN ini, terputuslah hubungan antara PAS dengan parti-parti komponen BN yang wujud sejak PAS menyertai Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973, sebelum BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974.

Krisis PAS dengan BN sejak ia ditubuhkan ini bermula daripada Pilihan Raya Umum 1974 di mana PAS tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi dan juga perjawatan kabinet, sedangkan Umno pula mensabotaj PAS dalam kes perlantikan Menteri Besar Kelantan. Setelah itu, PAS terus mendesak Kerajaan BN supaya meningkatkan komitmen dalam perlaksanaan syariat Islam, sehingga timbul isu PAS dituduh menubuhkan cawangan di kawasan-kawasan yang dikuasai Umno dan PAS menerima laporan berlakunya tindakan merendah-rendah dan mengkritik PAS yang dilakukan oleh pemimpin beberapa parti komponen BN. Isu-isu ini hangat diperkatakan oleh ahli-ahli PAS dalam Muktamar Tahunan PAS antara 1975 hingga 1977.

Selain beberapa isu ketidakpuasan hati yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat Setiausaha-setiausaha Agung BN, isu yang menjadi punca perpecahan ini ialah campur tangan Umno dalam isu Menteri Besar Kelantan. Bermula dengan tindakan Umno menolak calon Menteri Besar yang dikemukakan oleh PAS, Wan Ismail Ibrahim, yang menyebabkan calon pilihan Umno, Dato' Mohamad Nasir terlantik. Akibat dari perlantikan ini, Dato' Mohamad Nasir yang menganggap dirinya sebagai "Menteri Besar BN" telah beberapa kali berkonflik dengan PAS Kelantan sehingga beliau didesak meletakkan jawatan. Akhirnya, Dato' Mohamad Nasir telah mengemukakan surat perletakan jawatan pada 20 November 1976 yang berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977. Walau bagaimanapun, dengan campur tangan Umno, Dato' Mohamad Nasir telah tidak meletakkan jawatan sehingga menyebabkan timbulnya krisis politik Kelantan yang berakhir dengan pemecatan keahlian Menteri Besar Kelantan itu dari PAS pada 10 Oktober 1977, diikuti oleh usul undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.

Bertolak dari undi tidak percaya ini, telah berlaku demonstrasi yang dimotori oleh penyokong Umno dan juga rusuhan dan keganasan yang memusnahkan harta benda di Kota Bharu berkemuncak pada 22 Oktober 1977. Ekoran itu, perintah berkurung dikeluarkan, diikuti oleh beberapa siri rundingan yang menimbulkan cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 25 Oktober 1977 untuk mendaruratkan Kelantan. Cadangan yang tidak dipersetujui oleh PAS ini telah persetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn pada 2 November 1977. Perdana Menteri itu memberi tempoh sehingga 7 November 1977 kepada PAS untuk membuat keputusan menyokong cadangan beliau mendaruratkan Kelantan.

Pada 4 November 1977, sebelum PAS mengambil pendirian, Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Kelantan akan didaruratkan, yang menimbulkan kemarahan PAS. Pada 6 November 1977, PAS telah membuat keputusan untuk menolak Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 dan mengarahkan semua penjawat awam (menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen) PAS  meletakkan jawatan bagi membolehkan mereka menentang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat. Pada 8 November 1977, setelah Perdana Menteri membentangkan rang undang-undang itu, wakil-wakil rakyat PAS termasuk Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah berucap menentang usul kerajaan itu dengan 12 daripada 14 wakil rakyat PAS mengundi menentangnya. Ekoran tentangan PAS terhadap usul kerajaan ini, pada 5 Disember 1977, Majlis Tertinggi BN telah mengarahkan supaya PAS memecat keahlian wakil-wakil rakyatnya yang melanggar arahan Ketua Whip BN. Walau bagaimanapun, pada 6 Disember 1977, PAS memutuskan untuk bertegas tidak akan berbuat demikian.

Keputusan PAS ini telah dibincangkan semula oleh Majlis Tertinggi BN pada 13 Disember 1977. Mereka memutuskan supaya PAS bertindak tegas dengan memecat keahlian wakil-wakil rakyatnya dengan segera. Jika PAS gagal berbuat demikian sehingga 17 Disember 1977, maka PAS dengan sendirinya akan terpecat dari BN. Memandang serius keputusan Majlis Tertinggi BN ini, PAS pada 14 Disember 1977 bukan sahaja berkeras tidak akan bertindak ke atas Ahli-ahli Parlimennya yang mematuhi arahan parti, sebaliknya menganggap tindakan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Datuk Haji Hassan Adli Mohd Arshad telah terpecat dari PAS kerana melanggar arahan parti supaya menentang rang undang-undang tersebut. PAS juga menganggap keputusan Majlis Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 adalah memberi maksud bahawa PAS telah dipecat dari BN, dan PAS tidak perlu menunggu hingga 17 Disember 1977 untuk terpecat dari BN. Dengan pendirian PAS terhadap keputusan Majlis Tertinggi BN pada 13 Disember 1977 ini, PAS telah kembali menjadi pembangkang setelah lima tahun berada dalam kerajaan.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
13 Disember 2016 - HARAKAHDAILY 13/12/2016

Share on Myspace