Insiden pencemaran air berlaku di luar kawalan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor memberi jaminan gangguan bekalan air yang berlaku seperti sebelum ini tidak akan berulang kembali, sekali gus mencapai ‘kosong’ gangguan.

Pengerusi Jwatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, jaminan itu berdasarkan beberapa tindakan drastik dan kawalan pengurusan dilakukan pasukan jawatankuasa serta agensi yang terbabit.
 
“Selepas beberapa insiden yang berlaku, kita menambah baik dari sudut komunikasi dan kita belajar daripada pengalaman lepas.

“Kita mempunyai pasukan yang baik, malah tindakan diambil bagi mengatasi insiden sebelum ini juga dilakukan dengan baik,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mesyuarat Tahunan dan Persidangan Air Jawatankuasa Tindakan Jurutera-jurutera Air Daerah Se-Malaysia ke-29 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Bagaimanapun, Zaidy berkata insiden pencemaran berlaku di luar kawalan kerana membabitkan negeri lain boleh diselesaikan dengan baik dan memerlukan kerjasama yang lebih.

“Perkara ini berada di luar kawalan kita tetapi kita akan pastikan semua agensi kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan dan negeri yang terbabit memberikan kerjasama dengan baik.

“Kita yakin dan memberi jaminan perkara seperti ini akan dilaksanakan dengan lebih lancar. Kita berharap penambahbaikan dari sudut operasi dan tatakelola,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kini meningkatkan kecekapan dengan memperbanyakan stesen kawalan bagi mengawasi lembangan sungai dan menggunakan dron bagi tujuan meninjau serta mengenal pasti punca pencemaran.

Dalam Belanjawan Selangor 2017, kerajaan negeri memperuntukan sejumlah RM192.7 juta untuk pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang.

Kedua-dua loji rawatan air itu akan menambah bekalan air terawat sebanyak 400 JLH. Kerja-kerja pembinaan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dijangka siap pada Disember 2017 manakala Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2018.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada tahun hadapan, perancangan juga dibuat untuk melaksanakan Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air Sungai Langat dan Projek Menaiktaraf Rumah Pam di 11 lokasi yang menelan kos RM98 juta.

Kedua-dua projek itu bertujuan untuk memastikan bekalan air terawat dapat diagihkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan. Bagi 2017, sejumlah RM44 juta diperuntukkan bagi melaksanakan projek itu.

Penggunaan semula aset-aset rumah juga dikenalpasti bagi mendapat meningkatkan jumlah simpanan air dalam kolam dan seterusnya mengurangkan gangguan bekalan air kepada para pengguna.

Share on Myspace