Aleppo: Seluruh dunia mesti bersatu menentang kezaliman

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH | .

Dunia menyaksikan keganasan berterusan apabila serangan terbaru terhadap bandar Aleppo dilihat semakin meruncing. Berita-berita antarabangsa memaparkan kisah tragis dan menyayat hati saudara Islam kita di sana sambil memaklumkan sudah tiada tempat berlindung buat mereka.

Maka apakah kita hanya mahu hal ini berterusan? Sampai bila dunia mahu berdiam diri? Di mana sensitiviti kita terhadap mereka yang dizalimi tanpa henti?

Allah SWT menyeru hamba-Nya menolong dan melindungi antara satu sama lain melalui firmanNya yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [Al-Taubah: 71]

Islam begitu tegas menentang kezaliman. Kami Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru dunia membuka mata dan bertindak segera bagi menghentikan keganasan ini.

Malaysia selaku anggota OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga sewajarnya lantang bersuara membawa isu ini dengan segera.

Marilah sama-sama mendoakan mereka. Bayangkan jika anak-anak kita dibakar, ibu bapa kita dianiaya, rumah-rumah kita dibom, mana mungkin kita mampu bertahan tanpa pertolongan daripada yang lain.

Ya Allah, Selamatkan Saudara Kami di Aleppo!

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
16 Disember 2016 / 16 Rabi'ul Awal 1438 - HARAKAHDAILY 16/12/2016

Share on Myspace